PATI lolos: Keadaan tenang, penduduk ambil langkah keselamatan - Utusan Malaysia

PATI lolos: Keadaan tenang, penduduk ambil langkah keselamatan

KEADAAN di hadapan Depoh Sementara Imigresen Bidor hari ini selepas kejadian pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya melarikan diri semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Suasana tenang dan majoriti penduduk menjalani kehidupan rutin seperti biasa walaupun digemparkan dengan berita seramai 131 orang meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor di sini kira-kira pukul 9.50 malam semalam.

Seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah menengah berhampiran yang ingin dikenali sebagai Ramli, 52, berkata, beliau terkejut apabila menerima maklumat mengenai insiden itu menerusi WhatsApp.

“Memang ramai pada waktu malam semalam dengan kelibat ramai anggota polis, imigresen dan RELA yang bertugas tidak seperti biasa.

“Majoriti penduduk taman perumahan berhampiran juga mengambil langkah keselamatan dengan tidak keluar pada waktu lewat malam semalam selain mengunci tingkap dan pintu utama rumah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tinjauan bermula pukul 9 pagi tadi mendapati terdapat beberapa sekatan jalan raya (SJR) di lokasi strategik di bandar ini, Tapah dan Kampar.

Lokasi depot imigresen itu berhampiran Lebuh Raya Utara-Selatan dan kawasan sekelilingnya ialah ladang kelapa sawit berskala besar, sungai kecil serta jalan yang tidak rata.

Jaraknya menuju jalan utama kira-kira lima kilometer.

Terdahulu, media melaporkan seramai 131 tahanan berjaya meloloskan diri dari depot imigresen itu yang merangkumi 115 lelaki etnik Rohingya dan 16 lelaki warga Myanmar.

Usaha mencari tahanan yang lolos sedang giat dijalankan termasuk melalui bantuan pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 Bidor dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak serta JSJ Bukit Aman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN