PATI gadai nyawa panjat bumbung, terjun parit elak dicekup - Utusan Malaysia

PATI gadai nyawa panjat bumbung, terjun parit elak dicekup

PATI
ANTARA warga asing yang ditahan dalam serbuan dekat Pangsapuri Aman Perdana, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sanggup menggadai nyawa dengan memanjat bumbung di tingkat lima dan terjun ke dalam parit dekat sebuah rumah flat di Pangsapuri Aman perdana, di sini ketika kawasan kediaman itu digempur polis, awal pagi tadi.

Tindakan nekad pendatang asing tanpa izin (PATI) itu cuba meloloskan diri namun gagal apabila ditangkap ketika serbuan tersebut.

Serbuan pukul 2.30 pagi dijalankan sepasukan 330 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Jabatan Imigresen Selangor itu membawa kepada penahanan 490 warga asing.

Op Khas Aman 1 selama lebih tiga jam yang diketuai Penolong Pengarah (Pencegahan) D7 Bukit Aman, Asisten Komisioner Muhammad Riduan Manap itu turut disertai Pasukan Gerakan Am (PGA).

Kesemua warga asing berusia 20 hingga 50-an yang bekerja di sekitar kawasan itu antaranya melibatkan warga Bangladesh, Nepal dan Indonesia.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, operasi itu dilakukan hasil maklumat awam dan risikan pihaknya selama lebih sebulan.

“Pemeriksaan awal mendapati PATI itu melakukan kesalahan Imigresen antaranya tiada dokumen perjalanan sah atau tamat tempoh dan menetap lebih masa di negara ini.

“Kes yang diambil tindakan dalam operasi bersepadu itu adalah mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya, hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata warga asing itu sedang lena tidur di hampir 100 rumah sewa masing-masing.

Mereka termasuk wanita itu bagaimanapun gagal melarikan diri dan diberkas berikutan empat blok pangsapuri lima tingkat berkenaan dikepung rapi pihak berkuasa.

Selain itu, ada daripada PATI berkenaan turut ditahan dalam sebuah kedai runcit di tingkat bawah pangsapuri tersebut.

Tambah Mohd. Shuhaily, semua tangkapan akan dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih bagi tindakan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN