Parlimen: Henti tafsiran ‘liberal’ yang salah

Parlimen: Henti tafsiran ‘liberal’ yang salah

AARON Ago Dagang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tafsiran frasa ‘liberal’ dalam mukadimah Rukun Negara yang salah sehingga mencetuskan polemik antara masyarakat perlu dihentikan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata perkataan tersebut merujuk kepada sikap keterbukaan antara masyarakat majmuk dalam menerima perbezaan antara satu sama lain.

“Dalam konteks ini, perkataan ‘liberal’ merujuk kepada sikap keterbukaan dan penerimaan (faham, hormat dan terima) kepada perbezaan budaya antara kaum dan etnik.

“Rakyat bebas mengamalkan agama, adat resam serta kebudayaan masing-masing sesuai dengan kepentingan perpaduan negara. Sehubungan dengan itu, saya mohon agar semua pihak menghentikan tafsiran yang salah,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan Rukun Negara dihasilkan oleh 13 tokoh negara terdahulu yang daripada pelbagai latar belakang kaum dan kepakaran sebagai falsafah negara baharu.

Jelasnya, Rukun Negara dirangka berdasarkan tujuh tunjang utama yang dikemukakan melalui kertas ‘Pillars of Nation’.

“Akhirnya, Rukun Negara dirangka dan disusun kepada dua bahagian iaitu lima cita-cita dan lima prinsip. Cita-cita dan prinsip Rukun Negara kemudiannya diterjemah kepada suatu bentuk falsafah atau ideologi nasional.

“Falsafah yang bernilai tinggi ini perlu dihayati oleh setiap warganegara Malaysia bagi memastikan kelestarian dan kesesuaiannya sepanjang masa,” katanya.

Dalam pada itu, Aaron yang juga merupakan Ahli Parlimen Kanowit itu menyifatkan penerapan nilai-nilai liberal iaitu keterbukaan terhadap perbezaan budaya antara kaum akan membantu dalam kehidupan bermasyarakat.

“Ia mencipta persekitaran yang lebih inklusif, dinamik dan progresif serta memberi peluang kepada setiap individu untuk berkembang dan menyumbang kepada pembangunan negara secara poistif,” jelasnya.

Untuk rekod, cita-cita Rukun Negara menegaskan prinsip-prinsip yang menjadi asas kepada pembentukan masyarakat Malaysia yang bersatu padu, demokratik, adil, liberal dan progresif. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya