PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilapor amat kecewa dengan keputusan Lembaga Pengampunan, kelmarin.
Perkara itu dikongsikan anaknya, Nooryana Najwa menerusi hantaran di laman Instagram, selepas pulang daripada melawat bekas Presiden UMNO itu, semalam.
Menurutnya, perkara itu dizahirkan ketika dia bertanyakan perasaan bekas Ahli Parlimen Pekan itu selepas menerima keputusan Lembaga Pengampunan.
“Daddy jawab, ‘disappointed, very very disappointed. Perasaan paling teruk adalah ketika dalam keadaan terkejut, tiada seorang pun di sisi yang kita boleh beritahu. Anda mengelamun bersendirian’
“Apabila dia menerima berita bahawa pengampunan penuh tidak diberikan dan kemungkinan beliau akan dikurung selama, empat hingga lima tahun lagi. Yana lihat matanya agak letih. Mungkin Daddy tak cukup tidur, merenung keputusan yang diumumkan semalam,” tulis Nooryana Najwa.
Menurut Nooryana Najwa, keputusan itu juga menyaksikan hasrat Najib untuk menziarahi kubur ayahanda dan bondanya tidak kesampaian.
“Lima hari DSN (Najib) menunggu dengan penuh harapan. Semua di sekeliling daddy memberi kata-kata semangat ‘Insya-Allah Datuk, sikit masa saja lagi’….
“Sehingga pada pagi Isnin 29 Januari, pada hari mesyuarat Lembaga Pengampunan, sebelum daddy ke mahkamah, pengawal penjara fikir ini kali terakhir mereka akan jumpa dengan DSN, mendoakan yang terbaik untuknya.
“DSN juga beritahu mereka yang beliau jumpa, akan keinginannya, hasratnya menziarahi kubur ayahanda dan bondanya setelah diberikan kebebasan. Tidak kesampaian,” ujarnya.
Sebelum ini, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan hukuman ke atas Najib diberikan pengurangan bagi penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Ekoran keputusan itu denda yang perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta, manakala tarikh pembebasannya pada 23 Ogos 2028. – UTUSAN










