PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi memohon pelepasan pasport yang kini ditahan oleh mahkamah sebagai syarat jaminan, bagi membolehkan beliau menghadiri majlis perasmian restoran milik seorang kenalan rapat di Bangkok, Thailand.
Pasport beliau kini berada dalam simpanan pihak mahkamah sebagai syarat jaminan ekoran tiga pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) melibatkan lebih RM200 juta yang dihadapinya.
Muhyiddin, 76, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memfailkan permohonan itu pada 31 Januari lalu di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Sesyen di sini.
Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Azura Alwi pada Khamis ini. Dalam afidavit sokongan yang diikrarkannya, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau telah menempah tiket perjalanan untuk bertolak ke Bangkok pada 15 Februari ini ditemani isteri dan dijadual pulang pada 21 Februari.
Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri memohon pelepasan pasport bermula dari tarikh perintah mahkamah sehingga 23 Februari ini. Bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah permohonan itu atas alasan tiada sebab munasabah yang mewajarkan mahkamah membenarkan pelepasan pasport berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong dalam afidavit bagi membantah permohonan itu menyatakan, pada tarikh itu (15 Februari), mahkamah dijadual mendengar permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tiga pertuduhan AMLA yang dihadapinya.
“Selain permohonan membatalkan pertuduhan, pada tarikh itu, mahkamah juga dijadual mendengar permohonannya untuk menangguhkan prosiding perbicaraan yang mana beliau diwajibkan hadir.
“Perkara ini diketahui oleh Muhyiddin namun beliau masih membuat tempahan tiket penerbangan untuk bertolak pada hari yang sama,” ujar Zander dalam afidavit sokongan yang difailkan pada 2 Februari lalu.
Menurut beliau, alasan Muhyiddin untuk mengeratkan silaturrahim dengan kenalan dan menghadiri perasmian restoran `Phrigkiao’ adalah tidak munasabah kerana tiada keadaan mendesak yang mewajarkan pasport itu dilepaskan untuk sementara.
Zander selanjutnya menyatakan, pemohon masih berhadapan tiga pertuduhan AMLA, oleh yang demikian risiko beliau melarikan diri masih wujud. Ujarnya, pemohonan itu hanya bertujuan untuk mengganggu proses pendengaran kedua-dua permohonan yang telah ditetapkan pada 15 Februari ini.
Dalam afidavit sokongannya, Muhyiddin turut menyatakan, beliau mempunyai sahabat dan kenalan di Thailand dan selalu menziarahi mereka bersama keluarga setiap tahun. Ujar beliau, sejak dikenakan pertuduhan, pihaknya terhalang untuk melakukan lawatan ke negara itu.
Pada 29 November 2023, Mahkamah Sesyen menolak permohonan Muhyiddin agar pasportnya dipulangkan secara kekal. Azura menolak permohonan itu atas alasan beliau masih terikat dengan tiga pertuduhan AMLA dan adalah pramatang untuk membenarkan permohonan Muhyiddin bagi mengubah syarat jaminan dan melepaskan pasport tanpa syarat.
Bagaimanapun, Azura membenarkan bekas Perdana Menteri mendapatkan pasport secara sementara bagi membolehkan beliau bercuti bersama keluarga ke United Kingdom (UK) selain menjalani pemeriksaan kesihatan di Singapura. – UTUSAN










