BANDAR raya Kuala Lumpur sudah tidak asing bagi saya walaupun berasal daripada Kuala Terengganu. Bermula pada tahun 1988, untuk balik ke kampung halaman daripada The Malay College Kuala Kangsar semasa cuti sekolah, saya perlu menaiki keretapi dan singgah di Masjid Negara sebelum menaiki bas bersama-sama rakan ke Kuala Terengganu. Begitulah rutin saya dan rakan-rakan bermulanya cuti sekolah selama lima tahun.
Kemudiannya saya menyambung pengajian dalam bidang senibina di Universiti Teknologi Malaysia. Sudah tentu senibina Bandaraya Kuala Lumpur menjadi salah satu sumber rujukan penting semasa tempoh pengajian. Saya juga sempat menghasilkan 32 keping lakaran bandar lama Kuala Lumpur semasa menjalani latihan praktikal di firma arkitek pada tahun 1998.
Keunikan bandar lama Kuala Lumpur memberi saya inspirasi untuk menghasilkan 2000 keping lakaran Kuala Lumpur pada tahun 1999. Sudah pasti koleksi lakaran ini akan menjadi koleksi terpenting bermulanya milenium baharu.
Tetapi impian itu saya terpaksa tangguhkan dahulu setelah ditawarkan menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang senibina landskap di Edinburgh College of Art, Scotland selama dua tahun. Semasa saya di sana, saya berjaya menyiapkan koleksi 500 keping lakaran berkaitan bandar lama Edinburgh.
Berdasarkan kepada rujukan, koleksi ini merupakan satu-satunya koleksi komprehensif yang dihasilkan pada permulaan milenium baharu untuk bandar lama Edinburgh. Terima kasih kepada Balai Seni Visual Negara memberi peluang untuk menerbitkan buku bertajuk ‘The Edinburgh Old Town, Capturing the Lines of Heritage’ pada tahun 2023.
Koleksi
Koleksi lakaran ini sudah tentu menjadi aset rujukan penting kepada bandar lama Edinburgh pada masa akan datang kepada penduduk dunia. Hanya jauhari mengenal manikam, itu sahaja yang saya boleh katakan tentang nilai komersial kepada koleksi lakaran ini yang mencecah usia lebih 21 tahun.
Bandar lama Kuala Lumpur tetap dihati ketika melanjutkan pengajian saya di sana. Projek tahun akhir untuk Sarjana Senibina Landskap bertajuk ‘The Kuala Lumpur City Park’ berjaya saya siapkan dengan jayanya pada tahun 2002.
Saya amat bangga bercerita tentang keunikan bandar lama Kuala Lumpur kepada para pensyarah, panel penilai dan rakan-rakan pengajian daripada pelbagai negara ketika itu. Kuncinya terletak pada lokasi pertemuan 2 batang sungai penting yang menjadi jantung kepada bandar lama Kuala Lumpur iaitu Sungai Klang dan Sungai Gombak. Banyak lakaran yang perlu dihasilkan untuk menyatakan idea-idea reka bentuk lanskap di kawasan ini.
Impian untuk menghasilkan 2000 keping lakaran jejak bandar lama Kuala Lumpur tidak pernah padam. Terima kasih kepada Think City yang sudi bekerjasama untuk membolehkan saya memulakan langkah pertama kepada impian tersebut. Saya sedang berusaha menyiapkan 200 keping koleksi lakaran secara manual menggunakan peranti digital tentang bandar lama Kuala Lumpur.
Proses ini memberi peluang kepada saya merakam karektor senibina dan senibina landskap yang membentuk ruang bandar lama Kuala Lumpur sekitar tahun 2024. Manakala kepada masyarakat di seluruh dunia yang berpeluang menatap lakaran-lakaran ini akan membolehkan mereka melihat ruang bandar lama Kuala Lumpur dalam gambaran mudah dan ringkas.
Proses seterusnya adalah memberi warna kepada lakaran tersebut menggunakan cat air. Penghasilan lakaran-lakaran berwarna ini pula memberi peluang kepada masyarakat melihat ruang bandar lama Kuala Lumpur dalam bentuk warna ringkas.
Sebanyak 200 keping koleksi cat air akan disiapkan untuk melengkapkan fasa pertama kepada impian tersebut. Proses penghasilan kedua-dua koleksi ini akan dimuat naik ke media sosial dalam bentuk video untuk rujukan masyarakat Malaysia dan dunia.
Pilih melakar
Mengapakah saya memilih untuk melakar berbanding mengambil gambar di sekitar bandar lama Kuala Lumpur? ‘A picture paints a thousand words’ itulah yang selalu kita gunakan untuk memberi gambaran tentang visual kepada sekeping gambar.
Manakala lakaran pula meringkaskan sesuatu visual ‘A sketch simplifies a thousand words’, termasuk suasana atau pemandangan sesebuah bandar. Kita boleh melihat sesuatu pemandangan atau suasana ruang bandar dalam bentuk yang lebih mudah dan ringkas.
Selain daripada itu, proses penghasilannya memberi peluang kepada saya melihat dan memahami senibina dan senibina landskap dengan lebih terperinci.
Dalam era teknologi telefon bimbit, berbilion-bilion gambar digital boleh dihasilkan untuk merakam suasana dan pemandangan ruang bandar lama Kuala Lumpur. Oleh itu, rujukan melalui gambar digital mudah untuk dihasilkan serta diperolehi dalam abad ini.
Tetapi hal yang sebaliknya berlaku kepada lakaran manual. Hanya segelintir daripada kumpulan masyarakat yang menghasilkannya kerana mereka perlu mempunyai kehendak, ilmu dan kemahiran untuk melakar.
Jumlah lakaran yang dihasilkan pula sudah pasti amat sedikit berbanding gambar kerana proses penghasilannya memerlukan masa dan ketelitian. Selain daripada itu, setiap lakaran yang dihasilkan akan berbeza-beza bergantung kepada sentuhan tangan oleh setiap pelukis walaupun merujuk kepada pemandangan ruang bandar yang sama. Oleh itu setiap lakaran yang dihasilkan mempunyai nilai, identiti dan karektor tersendiri.
Koleksi 200 lakaran digital, 200 lakaran cat air dan 400 video proses penghasilannya akan memberikan peluang kepada kita untuk memperkenalkan bandar lama Kuala Lumpur kepada masyarakat dunia melalui lakaran.
Kesemuanya akan menjadi bahan promosi malar segar kepada bandaraya Kuala Lumpur secara berterusan. Selain daripada itu, koleksi lakaran ini akan menjadi salah satu bahan rujukan terpenting untuk memahami ruang bandar lama Kuala Lumpur dalam bentuk mudah dan ringkas.
Seni bina
Usaha ini juga membolehkan masyarakat untuk mengenali senibina dan seni bina landskap yang membentuk ruang bandar lama Kuala Lumpur dengan lebih dekat. Seterusnya memupuk kesedaran dan tanggungjawab kepada masyarakat untuk memelihara warisan penting negara.
Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Begitulah usaha yang saya cuba lakukan untuk merakam keindahan dan keunikan senibina dan senibina landskap yang membentuk ruang bandar lama Kuala Lumpur. Kepada sesiapa yang berminat untuk melihat proses penghasilan lakaran-lakaran jejak bandar lama Kuala Lumpur, boleh lawati https://www.instagram.com/kloldtown.
Kepada sesiapa yang berminat untuk menaja Projek Penghasilan 2,000 keping lakaran bandar lama Kuala Lumpur, boleh hubungi pihak Utusan Malaysia.
Saya juga ingin berkempen kepada semua untuk memahirkan diri dengan kemahiran melakar.
Kemahiran ini akan dapat membantu kita dalam menzahirkan idea-idea bernas secara efektif. Sekiranya anda ingin memulakan langkah tersebut, boleh scan QR kod yang disediakan. – UTUSAN













