KLANG: Sejumlah 40.37 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM1.32 juta dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor dalam satu operasi di jeti nelayan Sekinchan, Sabak Bernam, malam Selasa lalu.
Pengarah Maritim Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, rampasan dalam operasi tersebut merupakan rampasan dadah yang terbesar sejak tahun 2021.
“Pada tahun lepas, sebanyak tiga kes rampasan dadah yang berjaya dilakukan Maritim Selangor, tiada kes pada tahun 2022 dan dua kes pada 2021.
“Ini kes rampasan dadah yang pertama bagi Maritim Selangor dan kita akan terus buat operasi berkaitan dadah selepas ini,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Maritim Malaysia Selangor, hari ini.
Mengulas lanjut, anggota Unit Risikan daripada bot KM Bagan Datuk telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah bot nelayan tempatan di jeti terbabit, kira-kira pukul 8.30 malam.
Semasa operasi kata Abdul Muhaimin, pihaknya berjaya menahan seorang suspek warga Indonesia berumur 44 tahun manakala tiga suspek lain berjaya melarikan diri, dengan terjun ke dalam air.
“Suspek yang ditahan tidak berjaya meloloskan diri kerana dipercayai sedang berada dalam keadaan khayal akibat pengaruh dadah. Hasil pemeriksaan kami di bot tersebut mendapati terdapat dua buah guni yang disimpan di dalam petak simpanan ikan.
“Pemeriksaan ke atas dua guni berkenaan, kami menemui 38 bungkusan teh cina yang disyaki dadah jenis syabu,” ujarnya.
Abdul Muhaimin berkata, suspek bekerja sebagai seorang nelayan, namun dipercayai turut menjalankan aktiviti membawa dadah sehingga ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia.
Ujarnya, kesemua dadah berkenaan dipercayai untuk diseludup keluar ke Indonesia.
“Harga kesemua dadah ini sekiranya dijual di Indonesia dipercayai bernilai dua kali ganda lebih mahal daripada nilai rampasan yang kami buat. Suspek, bot dan kesemua dadah tersebut telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk siasatan lanjut.
“Bagi rampasan dadah, kami siasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala suspek disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana dia tidak mengemukakan dokumen pengenalan diri semasa operasi,” jelasnya. – UTUSAN










