Maritim rampas dua guni syabu dalam bot nelayan

Maritim rampas dua guni syabu dalam bot nelayan

ABDUL Muhaimin Muhammad Salleh (kiri) menunjukkan sebuah bot yang dipercayai digunakan untuk menyeludup keluar dadah jenis syabu di jeti nelayan Sekinchan, Sabak Bernam, Selangor, kelmarin. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sejumlah 40.37 kilogram (kg) syabu dianggarkan bernilai RM1.32 juta dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor dalam satu operasi di jeti nelayan Sekinchan, Sabak Bernam, malam Selasa lalu.

Pengarah Maritim Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhai­min Muhammad Salleh berkata, rampasan dalam operasi tersebut merupakan rampasan dadah yang terbesar sejak tahun 2021.

“Tahun lepas, sebanyak tiga kes rampasan dadah yang berjaya dilakukan Maritim Se­langor, tiada kes pada tahun 2022 dan dua kes pada 2021.

“Ini kes rampasan dadah yang pertama bagi Maritim Selangor dan kita akan terus buat operasi berkaitan dadah selepas ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Selangor, semalam.

Mengulas lanjut, anggota Unit Risikan daripada bot KM Bagan Datuk telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah bot nelayan tempatan di jeti terbabit, kira-kira pukul 8.30 malam.

Semasa operasi kata Abdul Muhaimin, pihaknya berjaya me­nahan seorang suspek warga In­donesia berumur 44 tahun manakala tiga suspek lain berjaya melarikan diri, dengan terjun ke dalam air.

“Suspek yang ditahan tidak berjaya meloloskan diri kerana dipercayai sedang berada dalam keadaan khayal akibat pengaruh dadah. Hasil pemeriksaan kami di bot tersebut mendapati terdapat dua buah guni yang disimpan di dalam petak simpanan ikan.

“Pemeriksaan ke atas dua guni berkenaan, kami menemui 38 bungkusan teh Cina yang disyaki dadah jenis syabu,” ujarnya.

Abdul Muhaimin berkata, sus­pek bekerja sebagai seorang ne­layan, namun dipercayai turut menjalankan aktiviti membawa dadah sehingga ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia.

Ujarnya, kesemua dadah ber­kenaan dipercayai untuk di­se­lu­dup keluar ke Indonesia.

“Harga kesemua dadah ini jika dijual di Indonesia bernilai dua kali ganda lebih mahal daripada nilai rampasan yang kami buat. Suspek, bot dan kesemua dadah tersebut telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk siasatan lanjut.” ujarnya.

“Bagi rampasan dadah, kami siasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala suspek disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana dia tidak mengemukakan dokumen pengenalan diri semasa operasi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN