JOHOR BAHRU: Seorang mangsa pencemaran Sungai Kim-Kim, Nur Fatin Adnin Mohd. Sairul 19, berharap kejadian pada 2019 tidak berulang lagi.
Ketika kejadian, dia yang berada dalam tingkatan dua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih pengsan terhidu bau bahan kimia yang mencemari sungai berkenaan sehingga menyebabkan kerajaan mengumumkan sekolah di kawasan di Pasir Gudang ditutup.
“Saya berharap sangat kejadian pencemaran akibat buangan sisa bahan kimia di sungai tidak berulang lagi kerana boleh membahayakan orang ramai.
“Cukup sekali apa yang sudah terjadi, tapi saya dapati ada beberapa sungai di Pasir Gudang masih tercemar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam media melaporkan empat sungai, iaitu Sungai Kim-Kim, Sungai Buluh, Sungai Perembi dan Sungai Tongkah Batu tercemar pada tahap kritikal.
Pemeriksaan yang dibuat oleh JAS Johor mendapati empat sungai berkenaan berada pada tahap tiga dan empat.
Seorang lagi penduduk, Muhammad Akid Dinie Shuhaimi 19, dari Taman Kota Masai berharap tindakan segera perlu diambil sekiranya empat sungai yang tercemar semakin kritikal.
“Kalau berlaku lagi pencemaran akan menyusahkan penduduk terutamanya di taman-taman perumahan di sekitar Pasir Gudang.
“Saya berharap pihak berkuasa, terutamanya Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil berat isu pencemaran empat sungai ini,” katanya. – UTUSAN









