KLUANG: Walaupun ramai yang berprasangka kaum Dayak bukan beragama Islam, hakikatnya kini semakin ramai daripada mereka yang menganut agama itu.
Pengerusi Persatuan Dayak Muslim Cawangan Kluang, Mohd. Afwan Abdullah berkata, tanggapan itu menyebabkan mereka dipandang remeh apabila berada dalam acara berkaitan agama Islam yang dianjurkan.
beliau mengakui masih ramai kaum Dayak yang mengekalkan adat tradisi, namun tetap memenuhi syarak ditetapkan agama Islam.
“Di Kluang kami mendapat pendedahan berkaitan agama Islam menerusi program dianjurkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di Darul Ukhuwah dan Masjid Jamek Bandar Kluang.
“Alhamdulillah, dengan pendedahan diberikan, kami memperoleh pengetahuan luas berkaitan agama Islam dan menganutinya bersama-sama masyarakat Islam di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri Hari Silaturrahim Persatuan Dayak Muslim Cawangan Kluang di Kompleks Yayasan Kebajikan Islam Kluang, di sini.
Menurutnya, sebagai rakyat negeri Sarawak yang mempunyai pelbagai etnik dan budaya, mereka tetap berbangga dengan keunikan turun temurun, namun tetap menggayakan pakaian tradisional menurut tuntutan Islam.
Dengan cara itu, secara tidak langsung mereka juga secara perlahan-lahan menarik perhatian masyarakat Dayak untuk meminati serta berpayung di bawah ajaran Islam.
“Setakat ini sudah ada 28 keluarga Dayak di daerah Kluang memeluk agama Islam dan dijangka ramai lagi akan berbuat demikian selepas melihat sendiri apa yang kami lakukan.
“Kami juga berharap Persatuan Dayak Muslim Kebangsaan Johor Bahru dapat terus bersama-sama membimbing dalam menggerakkan persatuan di Kluang selain pemimpin setempat membantu ke arah kebajikan ahli,” katanya. – UTUSAN









