Majlis Raja-Raja bincang cadangan pindaan RUU Polis

Majlis Raja-Raja bincang cadangan pindaan RUU Polis, isu kewarganegaraan

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 yang berlangsung selama dua hari di Istana Negara. - GAMBAR FB SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Raja-Raja hari ini membincangkan cadangan Rang Undang-undang (RUU) Polis (Pindaan) 2023 dan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 berhubung hal-hal kewarganegaraan.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berkata, perkara itu antara yang diteliti pada hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-265 yang diadakan di Istana Negara hari ini.

Selain itu, katanya, mesyuarat turut membincangkan mengenai pelantikan Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya dan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

“Beberapa perkara lain yang melibatkan pentadbiran agama Islam dan hal-hal di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) termasuk pelantikan Pengerusi MKI, juga telah dibincangkan,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, kenyataan itu berkata, majlis turut disembahkan taklimat terkini mengenai keselamatan negara oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain serta berkaitan pertahanan negara oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat ke hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 di Istana Negara, hari ini. 

Seri Paduka diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada hari pertama mesyuarat,  semua Raja dan Yang di-Pertua Negeri berangkat hadir.

Ia termasuk Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Raja-Raja Melayu dan Yang Dipertua Negeri diiringi oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri masing-masing. 

Terdahulu, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berkata,  Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada permulaan majlis semalam menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Almarhum Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

“Baginda juga turut menzahirkan ucapan tahniah mengalu-alukan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Seterusnya, disahuti ucapan balas oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri.

“Memandangkan bahawa Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-265 ini adalah yang pertama kali dihadiri oleh Sultan Ibrahim, sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, Tuanku Pengerusi telah menzahirkan titah tahniah kepada Baginda mewakili pihak Majlis dan seterunya disahuti dengan titah balas oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya