KUALA TERENGGANU: Seorang wanita hanya mampu melihat suaminya ditarik ombak besar sebelum dihanyutkan di tengah laut dan perlahan-lahan hilang daripada pandangannya di Pantai Batu Buruk, di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 11.20 pagi itu, Nora Elina Abdul Khalit, 44, bersama suaminya, Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, sedang berkelah di pantai peranginan tersebut bersama dua anak mereka.
Nora Elina berkata, dia dan dua anaknya berusia sembilan dan 11 tahun bermain pasir manakala suaminya pula bersiar-siar di tepi pantai.
“Tiba-tiba suami saya dihanyutkan arus ke tengah laut dan kejadian itu berlaku sekelip mata. Saya ambil pelampung dan baling ke arah suami dan terus berenang ke arahnya, namun gagal kerana arus terlalu kuat.
“Dari kejauhan, saya nampak suami terus dihanyutkan lebih jauh dan mujurlah ada orang awam bergegas mendapatkan bantuan daripada hotel tempat kami menginap,” katanya.
Difahamkan, keluarga ahli perniagaan itu datang dari Kuala Lumpur pada Jumaat lepas dan tinggal di sebuah hotel di sini untuk bercuti.
Dalam pada itu, seramai 13 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris turut melawat keluarga mangsa berkata, pantai di Terengganu masih berbahaya untuk sebarang aktiviti rekreasi sepanjang musim tengkujuh ini.
Menurutnya, setiap hotel dan resort telah dimaklumkan agar memberi peringatan kepada pengunjung untuk menggunakan jaket keselamatan setiap kali mahu pergi ke pantai. – UTUSAN










