PETALING JAYA: Susulan kejayaan meraih kemenangannya dalam Kejohanan Badminton Para Dunia, Cheah Liek Hou teruja menyamai rekod itu untuk negara bersama Datuk Nicol David yang bergelar juara dunia lapan kali dalam sukan skuasy.
Pemain berusia 35 tahun itu yang berjaya meraih kemenangan berganda dalam aksi perseorangan dan beregu lelaki itu bangga akan pencapaian kali ini semasa kejohanan itu yang berlangsung di Pattaya, Thailand, pagi tadi.
“Kemenangan saya di Pattaya ini adalah untuk mencipta rekod peribadi dan juga untuk negara.
“Saya baru diberitahu oleh media bahawa saya telah menyamai Datuk Nicol yang bergelar juara dunia sebanyak lapan kali.
“Saya rasa berbangga untuk diri saya untuk negara Malaysia dan rekod ini bukan mudah untuk saya cipta untuk menjadi juara dunia ini sebanyak lapan kali,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Tujuh gelaran Liek Hou sebelum ini dimenangi pada tahun 2005, 2007, 2011, 2013, 2015, 2017 dan 2022.
Untuk rekod, Datuk Nicol David menjuarai dunia sukan skuasy pada tahun 2005; 2006; 2008; 2009; 2010; 2011; 2012 dan 2014.
Sementara itu, Liek Hou turut menegur tindakan penganjur kejohanan yang menggunakan karpet gelanggang yang berlainan sehingga menyukarkannya bergerak ketika perlawanan.
Menurutnya, karpet gelanggang badminton sangat tebal selepas dialas tikar yoga untuk kejohanan membuatnya rasa tidak selesa dan hampir cedera di bahagian lututnya.
“Sebelum mereka (penganjur) menyediakan karpet gelanggang mereka meletak tikar yoga terlebih dahulu. Tikar tersebut amat lembut, jadi pergerakan semasa di dalam gelanggang itu menjadi sangat berat.
“Untuk pemain berumur ini, kalau permainan yang sangat agresif memang memakan tenaga di bahagian lutut. Saya berasa sangat sakit di bahagian ini (lutut),” katanya.
Liek Hou bukan sahaja membawa pulang gelaran juara dunia acara perseorangan, malah dia turut memahat nama sebagai juara dunia menerusi acara beregu lelaki SU5 bersama Muhammad Fareez Anuar. – UTUSAN











