PETALING JAYA: Malaysia kini boleh mendabik dada apabila muncul seorang lagi juara dunia menerusi perseorangan lelaki badminton para, Cheah Liek Hou.
Ia susulan kejayaannya merangkul kejuaraan dunia buat kali kelapan di Kejohanan Badminton Para Dunia 2024 di Pattaya, Thailand semalam.
Liek Hou dinobatkan juara dunia kategori SU5 selepas menewaskan seteru utamanya, Dheva Anrimusthi dari Indonesia dengan keputusan 21-15, 16-21, 21-15.
Lebih manis, dia turut memenangi gelaran juara dunia bersama Muhammad Fareez Annuar dalam acara beregu lelaki selepas menumpaskan Chirag Baretha-Raj Kumar dengan 21-17, 21-18.
Kejayaan Liek Hou itu menyaksikan dia kini menyamai pencapaian bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David yang pernah bergelar juara dunia sebanyak lapan kali, dengan kali terakhir dirangkul pada 2014.
Meskipun Malaysia telah melahirkan ramai juara dunia dalam pelbagai bidang sukan, namun tidak semua konsisten sehingga berjaya memenanginya berulang kali.
Ia juga memberikan gambaran positif untuk kontinjen Malaysia menuju ke Sukan Paralimpik Paris yang akan berlangsung pada Ogos depan.
Untuk rekod, Liek Hou melakar sejarah menjadi pemain badminton para pertama memenangi pingat emas dalam acara itu di Sukan Paralimpik Tokyo 2020. – UTUSAN










