Lelaki didakwa buat kenyataan palsu tuduh Datuk minta RM2 juta

Lelaki didakwa buat kenyataan palsu tuduh Datuk minta rasuah RM2 juta

PEGAWAI SPRM mengiringi Abdul Hakimy (tengah) semasa tiba untuk prosiding pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang pekerja swasta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi keterangan palsu dengan mengatakan seorang lelaki berpangkat Datuk meminta wang rasuah RM1 juta atau RM2 juta untuk menarik balik laporan polis kira-kira lima bulan lalu.

Tertuduh, Abdul Hakimy Zulkifli, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah membuat satu penyataan bahawa Datuk Tan Kim Keah, 78, telah meminta wang rasuah sebanyak RM1 juta atau RM2 juta untuk menarik laporan polis di Kota Bharu yang akan diberikan kepada empat orang pegawai dan anggota polis.

Perbuatan itu dilakukan oleh Abdul Hakimy semasa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakam percakapan tertuduh di bawah Seksyen 30(8) Akta SPRM 2009 di Pejabat SPRM Kelantan di sini kira-kira pukul 12.55 tengah hari pada 3 September 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 27(1)(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob dan Mariah Omar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 24 Mac depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN