Kuala Lumpur, Bandar Untuk Semua

Kuala Lumpur, Bandar Untuk Semua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ibu negara Malaysia terus menempa nama dan semakin dikenali di seluruh dunia. Perubahan juga mewarnai wajah Kuala Lumpur yang pesat membangun sebagai pusat tumpuan pekerjaan dan penjana ekonomi negara.

Tidak menghairankan apabila Indeks Bandar Destinasi Global oleh Mastercard seperti dilaporkan laman web Travelness meletakkan Kuala Lumpur pada kedudukan ke-6, iaitu antara bandar yang paling banyak dikunjungi pada 2023.

Justeru, pembangunan Kuala Lumpur memerlukan perancangan rapi agar bandar raya ini terbangun secara holistik, menyantuni keperluan penghuninya, mesra alam dan mampan.

Apa itu Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040?

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah merangka Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040) bagi menggantikan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (PBRKL 2020).

Draf PTKL2040 merupakan mekanisme perancangan bandar yang mampu mengurus dan mempromosi pembangunan di bandar raya Kuala Lumpur untuk jangkamasa 20 tahun mendatang.

Dalam konteks sistem pelan pembangunan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ia adalah pelengkap kepada Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) di mana hala tuju strategik dan tindakan diterjemahkan dengan lebih spesifik. Dengan perancangan yang komprehensif mampu meletakkan bandar raya Kuala Lumpur setanding dengan bandar-bandar utama dunia yang tersedia dengan pelan pembangunan yang menyeluruh dan inklusif demi kesejahteraan semua lapisan penduduknya sebagai Bandar Untuk Semua.

Draf PTKL2040 adalah game changer DBKL untuk merealisasikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya huni. Strategi pembangunan dan inisiatif pelaksanaan yang dirangka adalah bertepatan dengan agenda pembangunan di peringkat global dan nasional. Ia juga mampu laksana, berciri pintar, peka dengan perubahan iklim serta mengaplikasikan teknologi yang inovatif.

Asas penyediaan pelan tempatan ini adalah berdasarkan kepada peruntukan Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan, 1982 (Akta 267), di mana Datuk Bandar bertanggungjawab mengatur, mengawal dan merancang pembangunan Kuala Lumpur dengan intipatinya menterjemah visi dan matlamat yang digariskan dalam PSKL 2040 yang baharu sahaja diwartakan pemakaiannya.

Sebagai sebuah bandar raya yang meletakkan penghuninya sebagai keutamaan, pelbagai sesi libat urus telah diadakan, antaranya Sesi Pra Rundingan bersama semua pihak berkepentingan termasuk persatuan penduduk, pemain industri, ahli akademik serta ahli profesional dalam bidang perancangan bandar dan pembangunan.

Usaha inklusif ini turut disokong melalui siri Sesi Technical Working Group (TWG), Perbincangan Kumpulan Bersasar (FGD) dan kajian soal selidik secara dalam talian atau bersemuka bersama agensi persekutuan dan pihak berkuasa tempatan bersempadanan, operator utiliti serta kumpulan-kumpulan masyarakat dalam menyelaras penterjemahan keperluan semua golongan termasuk golongan rentan.

Kesungguhan ini diperhalusi seterusnya dengan sesi santai Datuk Bandar bersama Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi mendengar sendiri wishlist perancangan pemimpin tempatan seterusnya menyelaras kandungan laporan dengan mengambil kira pandangan awam semasa sesi libat urus PSKL2040 selaras dasar semasa kerajaan dan kerangka Malaysia MADANI.

Maklum balas, perkongsian dan pandangan sepanjang penyediaan Draf PTKL2040 mencerminkan aspirasi DBKL mewujudkan budaya jalinan mesra dan holistik di antara pentadbir serta masyarakat seluruhnya.

Usaha komprehensif ini adalah visi pembangunan holistik agar pembangunan di Kuala Lumpur bersifat pelbagai hala dengan PTKL2040 sebagai penghubung hasrat semua pihak.
Inisiatif ini menjadi pemangkin pembangunan menyeluruh dan seimbang yang menggalakkan peluang pelaburan, pekerjaan serta menjadi destinasi pilihan pelancong pada masa akan datang.

Justeru itu, warga kota dipelawa untuk memberikan pandangan dan cadangan terhadap Draf PTKL2040 bagi memastikan hasrat semua pihak diambil kira serta diterjemahkan dalam kerangka yang bersesuaian selaras dengan hala tuju bandar raya Kuala Lumpur. Warga kota juga dijemput untuk menghadiri sesi taklimat pemahaman Draf PTKL2040 yang dijalankan dalam tempoh pameran.

Warga kota boleh mengemukakan pandangan dan cadangan serta mendapatkan maklumat berkenaan sesi taklimat di laman web Pelan Pembangunan Kuala Lumpur (PPKL) melalui pautan https://ppkl.dbkl.gov.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN