KAJANG: Kementerian Pendidikan Malaysia sedang bergerak ke arah Kurikulum 2027 bagi memperbaiki kualiti pendidikan negara dengan memfokuskan empat hala tuju.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pihaknya (KPM) mendengarkan pandangan berkenaan untuk mengembalikan semula peperiksaan utama sebelum ini termasuk PT3 ekoran kualiti pendidikan yang merudum.
“Kita dengar semua pandangan berkenaan peperiksaan. Ketika ini kita sedang memperkukuhkan pentaksiran dan memberikan tumpuan kepada Kurikulum 2027 serta haluan pendidikan negara.
“Haluan negara ketika ini adalah pada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan Latihan dan Vokasional (TVET), Bahasa Inggeris dan bidang digital.
“Jadi kita minta semua memberikan sokongan untuk memperkukuh ekosistem (pendidikan) kita khususnya empat hala tuju ini supaya kita dapat sama-sama memperkukuhkannya,” katanya kepada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Fadhlina bersama ahli Parlimen dan ADUN menyerahkan cek cura bagi BAP Peringkat Negeri Selangor di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaaan Yu Hua, di sini hari ini.
Tambahnya, ketika ini pihak KPM juga sedang menerajui satu perbincangan untuk melihat keluasan pra sekolah. – UTUSAN










