BELURAN: Klinik Kesihatan Kampung Tangkarason dan kuarters kakitangan musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku di sini pada awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, klinik kesihatan dan kuarters terbakar sepenuhnya dalam kejadian tersebut.
Pihak JBPM Sabah menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.08 pagi dan sepasukan empat pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 215 kilometer dari lokasi kejadian.
“Sebaik sahaja pasukan bomba tiba di lokasi, didapati sebuah klinik dan kuarters berkeluasan 60×30 kaki persegi terbakar sepenuhnya dalam kebakaran berkenaan.
“Pasukan bomba bertindak memadan kebakaran menggunakan satu aliran 100 kaki dua pancutan menggunakan sumber air terbuka dari kolam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut PGO, operasi pemadaman kebakaran dilaporkan terkawal pada pukul 6.20 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut. –UTUSAN