Keputusan tinggalkan kerja berbaloi, Amanda Tan bakal bintangi filem seram Indonesia - Utusan Malaysia

Keputusan tinggalkan kerja berbaloi, Amanda Tan bakal bintangi filem seram Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon meningkat naik, Amanda Tan, 30, tidak pernah menyesal meninggalkan kerjaya bersama sebuah syarikat gergasi tempatan lebih satu tahun lalu semata-mata untuk menjadi pelakon sepenuh masa.

Malah gadis kelahiran Ipoh, Perak ini berkata dia bersyukur kerana akhirnya dia dapat melakukan sesuatu yang sesuai dengan minat dan keinginannya.

“Kerja sebagai pelakon memang mencabar kerana tawaran berlakon tak datang setiap masa. Dan tentunya keadaan itu memberi kesan terhadap kewangan saya.

“Namun saya tidak pernah menyesal kerana saya buat sesuatu yang saya suka, yang kena dengan jiwa saya. Walaupun terpaksa susah, tapi berbaloi.

“Kerjaya sebagai pelakon lebih membahagiakan saya berbanding dengan pekerjaan sebelum ini yang tidak menggembirakan meskipun menjanjikan gaji bulanan lumayan. Sekarang hidup saya lebih bahagia dan bermakna,” katanya yang ditemui sewaktu pelancaran filem OPPA baru-baru ini.

Amanda juga bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang tidak pernah mempersoalkan keputusannya untuk menjadi pelakon dan sentiasa menyokong kerjaya pilihannya itu.

Katanya, dia bernasib baik kerana disebabkan keluarga yang memahami dan menyokong, dia mampu bertahan dan terus mengejar cita-cita yang diinginkannya selama ini.

“Saya harap satu hari nanti saya berjaya dalam bidang ini dan bantu menyara keluarga saya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Amanda juga memaklumkan bakal muncul dalam sebuah filem seram Indonesia yang diarahkan sutradara tersohor, Viva Westi yang juga pengarah filem Anwar: The Untold Story.

“Penggambaran telah pun bermula dan kebanyakan babak melibatkan saya dirakam di Kuala Lumpur. Selain saya, filem berjudul Ambar ini turut menampilkan seorang lagi pelakon Malaysia iaitu Jasmine Suraya Chin,” kongsinya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN