KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyekat cubaan membawa masuk mercun melebihi had dibenarkan dan pistol angin dengan nilai barangan dan cukai berjumlah RM3.3 juta dalam enam operasi berasingan antara 5 hingga 14 Februari lalu.
Kesemua barangan tersebut dirampas menerusi operasi dijalankan Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor) dekat gudang dan kontena di Masjid Tanah, Melaka; Trong, Perak dan Klang, di sini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, rampasan awal melibatkan mercun berjumlah 2,270 kotak dalam lima serbuan pada 5 hingga 8 Februari lalu.
“Hasil serbuan serta pemeriksaan di gudang dan kontena di lokasi terbabit mendapati mercun berkenaan dipercayai tidak mematuhi syarat yang ditetapkan dan tidak mempunyai permit import.
“Dalam lima serbuan tersebut, dua pemilik gudang di Trong, Perak ditahan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, bagi kes rampasan pistol angin, JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor) merampasi 17,000 unit dengan nilai cukai dan barangan berjumlah RM4.4 juta.
“Hasil pemeriksaan terhadap sebuah kontena di Pelabuhan Barat, di sini menemukan sejumlah airsoft pistol yang dipercayai tidak mempunyai permit import daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan nilai dagangan melibatkan RM1.8 juta dan cukai RM2.6 juta,” jelasnya.
Justeru beliau memaklumkan kesemua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 mengikut mana lebih tinggi atau kedua-duanya sekali.
“Orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan dan dinasihatkan tidak membabitkan diri dalam aktiviti tersebut. Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara, tetapi mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan rakyat.
“JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855,” tegasnya. – UTUSAN










