KUALA LUMPUR: Penyanyi, Zaiton Sameon bersyukur kerana generasi baharu menghargai dan sudi mendengar lagu-lagu lamanya meskipun citarasa muzik mereka berlainan dan sedikit berubah.
Kata penyanyi yang mesra di sapa sebagai Kak Eton itu, keadaan itu membuktikan pengaruh lagu-lagu lama terlalu besar dan tidak mati ditelan zaman.
“Saya terkejut apabila menyaksikan ramai anak muda yang hafal lagu Menaruh Harapan dan menyanyikannya bersama saya ketika Separuh Akhir Muzik Muzik 38 pada Disember tahun lepas.
“Benarlah kata orang, tiada lama tiada yang baru. Saya gembira kerana masih ramai yang suka kepada lagu Menaruh Harapan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ditanya tentang lagu baru, kata Zaiton belum ada perancangan ke arah itu namun dia tidak menolak sekiranya ditawarkan untuk merakamkan single baharu.
“Ramai peminat yang DM di Instagram bertanyakan tentang lagu baru. Saya jawab, kalau rindu, dengarlah lagu lama.
“Memang saya sudah terlalu lama tak ada lagu baru. Buat masa ini belum ada perancangan untuk itu,” kongsinya.
Dalam pada itu, Zaiton bersyukur kerana ada pihak yang sudi menawarkan dia membuat persembahan meskipun meskipun muncul lambakan penyanyi baru masa sekarang.
“Terima kasih kepada yang panggil saya menyanyi. Alhamdulillah, masih ada yang sudi tawarkan saya menyanyi di majlis perkahwinan dan acara makan malam.
“Saya juga berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang beberapa kali menawarkan saya membuat persembahan,” kongsinya lagi.










