Kalau diizinkan Tuhan, Insya-Allah - Kenji Sawahi sedang kenal Islam - Utusan Malaysia

Kalau diizinkan Tuhan, Insya-Allah – Kenji Sawahi sedang kenal Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sifat sopan santun dan hormat menghormati dalam masyarakat Melayu Islam menarik minat pelakon, Kenji Sawahi untuk mengenal dengan lebih dekat agama tersebut.

Disebabkan itu pelakon berusia 61 ini kini rancak merujuk banyak perkara tentang Islam kepada seorang rakan yang dikenalinya sejak lima tahun lepas.

“Mungkin keinginan ini timbul kerana saya ramai kawan Melayu dan selalu tengok mereka mendirikan solat. Pada masa yang sama, saya tertarik dengan sikap orang Islam yang sopan dan hormat orang lain terutamanya terhadap mereka yang lebih berusia.

“Disebabkan itu saya selalu minta penerangan tentang Islam daripada seorang kawan. Hati saya tersentuh kerana sahabat ini menjelaskan banyak perkara baru untuk saya.

“Tapi apa yang boleh saya katakan, saya sedang mengenal Islam dan belum mendalami atau memeluk agama ini. Saya kena betul-betul fahami sebelum memeluknya kerana saya tak mahu keluar masuk agama di kemudian hari. Kalau diizinkan Tuhan, Insya-Allah,” katanya.

Kenji menjelaskan perkara itu sebelum majlis tayangan episod akhir drama Layang-Layang Perkahwinan di sebuah hotel dekat Bangi, semalam.

Turut hadir adalah pengarah, Eyra Rahman dan barisan pelakon antaranya Shukri Yahaya, Ezzanie Jasny, Arash Mohamad, Nina Juren, Aishah Ilias, Haidar Hasanuddin dan ramai lagi.

Dalam pada itu, Kenji memaklumkan terpaksa memendekkan cuti perayaan Tahun Baru Cina semata-mata untuk menyelesaikan penggambaran drama berkenaan.

“Pada awal, saya ikut sahaja keadaan, tak berani ganggu jadual sebab ketika itu drama ini masih ditayangkan dan dalam penggambaran. Ketika itu saya maklumkan keluarga mungkin tak balik kampung untuk menyambut Tahun Baru Cina sebab terlibat penggambaran drama ini.

“Namun pihak produksi rombak jadual untuk beri kesempatan pelakon berbangsa Cina bercuti. Saya lega, walaupun saat akhir, saya sempat pulang ke Taiping dengan menaiki keretapi.

“Sempat saya luangkan masa antara tiga hingga empat hari untuk menyambut perayaan ini bersama keluarga,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya