Kabel bawah tanah rosak punca gangguan elektrik di Melaka

Kabel bawah tanah rosak punca gangguan elektrik di Melaka

Kerajaan diminta lebih telus berhubung kadar surcaj Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) di dalam menentukan tarif elektrik di negara ini.- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masalah gangguan bekalan elektrik secara mengejut yang dihadapi penduduk di sekitar Kem Terendak dan Tangga Batu, Melaka berpunca daripada kerosakan kabel bawah tanah.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan memaklumkan, kerosakan kabel bawah tanah itu berlaku di enam lokasi melibatkan sebahagian kawasan Masjid Tanah, Sungai Udang dan Tangga Batu.

Katanya, oleh itu notis awal gangguan bekalan kepada penduduk tidak dikeluarkan berbanding jika ia adalah disebabkan kerja-kerja yang dirancang khususnya pembaikan dan penyelenggaraan.

“Bagaimanapun sebaik sahaja gangguan dikesan, pemakluman dibuat melalui hantaran di laman rasmi Facebook TNB Careline, pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang dan Jabatan Kerja Raya (JKR) tempatan.

“Bekalan sebahagian besar pelanggan berjaya dipulihkan dalam masa kurang empat jam manakala selebihnya menerima bekalan sementara secara berperingkat melalui 48 set janakuasa, sebelum bekalan pulih sepenuhnya pada 23 Februari 2024.

“Kini, kesemua enam kerosakan kabel telah siap dibaiki dan sistem elektrik di lokasi terlibat kembali normal,” katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, penduduk di sekitar dua kawasan tersebut tidak berpuas hati ekoran gangguan bekalan elektrik secara mengejut bermula Rabu lalu.

Keadaan itu berlarutan menyebabkan beberapa peniaga terkesan terutama di sekitar Pekan Sungai Udang, selain pejabat terpaksa ditutup sementara.

Mereka meluahkan perasaan kecewa memandangkan tiada sebarang notis gangguan bekalan dikeluarkan mana-mana pihak terutamanya TNB.

Sehubungan itu, TNB memohon maaf kepada pengguna yang terkesan dengan gangguan bekalan elektrik yang terjadi.

“TNB akan terus memantau situasi yang berlaku dan mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN