Jutaan ringgit mengalir ke Thailand setiap bulan

Jutaan ringgit mengalir ke Thailand setiap bulan

MONOPOLI peniaga warga Thailand di arked niaga Padang Besar dan kompleks beli-belah Padang Waremart termasuk kedai-kedai makan di situ menyaksikan aliran keluar duit dianggarkan mencecah jutaan ringgit setiap bulan. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Isu monopoli peniaga warga Thailand di arked niaga Padang Besar dan kompleks beli-belah Padang Waremart termasuk kedai-kedai makan di sini menyaksikan aliran keluar duit dianggarkan mencecah jutaan ringgit setiap bulan.

Jumlah tersebut berkemungkinan bertambah berikutan tukaran baht lebih tinggi berban­ding Ringgit Malaysia (RM) sejak kebelakangan ini.

Masalah monopoli tersebut ber­­larutan sejak sekian lama apabila ada dalam kalangan peniaga warga tempatan menyewa tapak kepada peniaga Thailand.

Sebagai rekod, Padang Besar iaitu satu daripada lokasi pelancongan popular adalah ‘lubuk emas’ kepada para peniaga selain mampu membantu merancakkan ekonomi di Perlis.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Hubungan dan Kerjasama Sempadan negeri, Izizam Ibrahim berkata, kerajaan negeri sememangnya memandang serius isu monopoli berkenaan namun masih terdapat peniaga tempatan yang menyewa premis mereka kepada warga Thailand.

Bagaimanapun, katanya, daripada 80 ke 90 peratus peniaga warga Thailand sebelum ini didapati sudah berkurangan kepada sekitar 50 peratus sahaja kebelakangan ini.

“Dianggarkan aliran keluar ma­ta wang ke negara jiran hasil daripada peniaga warga Thailand yang berniaga di Padang Besar boleh mencecah sehingga jutaan ringgit atau lebih setiap bulan.

“Kita tidak boleh kawal semua namun peniaga tempatan diharap bertanggungjawab tidak menyewa kepada warga luar,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, isu kewujudan peniaga Thailand yang mengaut keuntungan di sekitar kawasan Padang Besar yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu turut memberi kesan kepada peniaga tempatan.

Malah, kebanyakan peniaga tempatan sebelum ini mendakwa semakin bimbang dengan dominasi peniaga Thailand di sini.

Januari lalu, dalam tinjauan Pengerusi Hal Ehwal Pengguna negeri, Razali Saad bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis mendapati peniaga-peniaga di premis sekitar pusat perniagaan Padang Besar itu adalah 98 peratus peniaga warga Thailand.

Sementara itu, Izizam berkata, kerajaan negeri akan sentiasa memantau isu monopoli peniaga warga Thailand di Padang Besar itu selain berharap peniaga tempatan bertanggungjawab tidak menyewa premis mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×