Jumlah murid bawah 13 tahun ada TikTok membimbangkan

Jumlah murid bawah 13 tahun ada TikTok membimbangkan

Fadhlina Sidek (tengah) pada Majlis Apresiasi KEMAS Daerah Barat Daya dan Timur Laut di Dewan Seri Mutiara RAIA Inn, Bayan Lepas, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYAN LEPAS: Kementerian Pendidikan (KPM) bimbang isu pemilikan akaun TikTok oleh kanak-kanak bawah usia 13 tahun yang semakin tidak terkawal membawa kepada pelbagai implikasi negatif terhadap mereka.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, walaupun individu di bawah umur 13 tahun tidak dibenarkan mempunyai akaun di platform media sosial itu, pihaknya melihat larangan tersebut tidak diendahkan atau dipantau bagi tujuan penguatkuasaan oleh mana-mana pihak.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Komunikasi berhubung isu pemilikan akaun TikTok oleh kanak-kanak di bawah usia berkenaan.

“Kita perlu mendapat maklumat penuh berhubung perkara tersebut sebelum mengeluarkan sebarang garis panduan mengenainya. Itu nanti kita minta penyelarasan daripada Menteri Komunikasi sebab saya perlu dapat maklumat penuh dan pedoman daripada beliau supaya kita boleh tengok apa kesan dan impaknya kepada anak-anak kita.

”Saya pasti ada garis panduan yang perlu dipatuhi, maknanya kawalan itu berlaku khususnya daripada ibu bapa,” katanya selepas menghadiri majlis apresiasi Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Barat Daya dan Timur Laut, di sini, semalam.

FAHMI FADZIL

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, selain KPM, pihaknya akan bertemu dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo bagi membincangkan isu berkenaan.

Katanya, ia selaras dengan keputusan Kabinet supaya isu-isu perundangan berhubung keselamatan dalam talian diteliti oleh semua pihak yang berkaitan termasuk mewujudkan jawatankuasa teknikal untuk menelitinya.

“Ini perkara (garis panduan penggunaan media sosial khususnya bagi kanak-kanak bawah umur 13 tahun) yang kerajaan sedang teliti, banyak negara juga sedang menelitinya termasuk di Amerika Syarikat (AS),” katanya selepas Forum Teknologi Sidang Kemuncak Komunikasi Malaysia ‘Melakar Masa Depan Bersama’ di Kuala Lumpur.

Fahmi berkata, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan TikTok selepas Tahun Baharu Cina, serta beberapa pengendali media sosial lain untuk membincangkan isu keselamatan kanak-kanak dalam talian.

Terdahulu, ketika menjadi panel dalam forum itu, Fahmi berkongsi pengalaman di kawasan Parlimen apabila terdapat ramai pelajar sekolah bawah umur yang mempunyai akaun TikTok, yang memerlukan satu bentuk kawal selia yang berkesan.

Beliau turut mengingatkan pempengaruh untuk mengawal secara kendiri dan berhati-hati apabila mengendalikan audio siar (podcast) atau memuat naik kandungan di media sosial supaya tidak memberi kesan kepada masyarakat.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, KPM sedang dalam usaha meningkatkan enrolmen prasekolah sehingga ke 90 peratus dan pada waktu ini terdapat 9,909 kelas itu di seluruh negara.

”Peluasan prasekolah KPM berlangsung setiap tahun kerana permintaan yang terlalu tinggi. Kita juga mahu memastikan lebih ramai kanak-kanak mendapat pendidikan percuma di peringkat prasekolah.

”Pastinya ia juga terkait rapat dengan naratif keciciran sebab itu enrolmen di peringkat prasekolah ini kita perlu buat lonjakan lagi,” katanya.

Terdahulu, beliau dilapor mengumumkan telah mewujudkan pasukan khas untuk penyelarasan semula sistem pendidikan pr sekolah di bawah kementerian itu bagi mempercepat reformasi pendidikan.

Beliau dilaporkan berkata, agenda KPM adalah untuk memastikan kurikulum dan isu-isu berkaitan prasekolah seperti dari segi pembelajaran serta silibus dapat diselaraskan semuanya di bawah kementerian.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, peluasan kelas pra sekolah pada tahun 2023 adalah sebanyak 119 kelas, manakala untuk tahun ini sebanyak 129 buah kelas lagi ditambah bagi memberi peluang lebih ramai murid mendapatkan pendidikan awal di sekolah.

”Lebih dari 200,000 orang murid prasekolah dicatatkan di seluruh negara pada sesi 2023/2024,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN