Jasmine Loo hadir ke mahkamah 13 Februari

Jasmine Loo hadir ke mahkamah 13 Februari

JASMINE LOO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas peguam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo akan hadir ke Mahkamah Tinggi di sini pada perbicaraan kes penyelewengan dana syarikat terbabit pada 13 Februari ini.

Bergantung kepada keadaan, wanita yang didakwa sebagai sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Jho Taek Low juga berkemungkinan mula memberi keterangan pada hari berkenaan.

Ia selepas Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) meminta pihak pendakwaan menyediakan saksi lain untuk memberi keterangan agar tidak membazirkan masa mahkamah.

“Saya harap pihak pendakwaan boleh sediakan saksi supaya sekiranya berlaku kejadian seperti hari ini, ada saksi lain yang boleh memberi keterangan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib mengambil maklum arahan mahkamah dan menyatakan akan mengeluarkan sepina terhadap Jasmine atau nama penuhnya Jasmine Loo Ai Swan pada 13 Februari ini.

Jasmine ditahan polis pada 7 Julai 2023 bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana syarikat berkenaan. Wanita itu juga telah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, perbicaraan penyelewengan dana 1MDB RM2.3 bilion membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tertangguh selepas saksi pendakwaan ke-49, Penguasa Kanan SPRM, Nur Aida Arifin tidak dapat hadir kerana sakit.

Sehubungan itu, Ahmad Akram memaklumkan beliau tiada pilihan lain selain memohon penangguhan kerana tiada saksi lain yang tersedia untuk memberikan keterangan.

Bagaimanapun, sebelum mahkamah menangguhkan prosiding pada hari ini dan esok, Hakim Sequerah meminta pihak pendakwaan memanggil doktor yang mengeluarkan sijil cuti sakit terhadap Nur Aida selepas terdapat dua versi sijil berkenaan.

Sekitar 1 petang, Dr. K. Shanmuganathan dari sebuah klinik swasta di Putrajaya hadir di mahkamah dan memberikan penjelasan berhubung dua versi sijil cuti sakit berkenaan.

“Pesakit (Nur Aida) mengidap batuk, selesema dan demam. Apabila dia datang berjumpa saya, saya telah mengeluarkan sijil cuti sakit dengan perkataan `tidak boleh digunakan di mahkamah’. Kemudian datang seorang yang sebelum itu turut menemani pesakit dan memaklumkan yang pesakit perlu hadir ke mahkamah.

“Sebab itu saya keluarkan satu lagi sijil cuti sakit dengan menandakan `boleh digunakan di mahkamah’,” kata doktor berkenaan.

Individu yang menemani Nur Aida kemudian disahkan sebagai salah seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bernama Norazlizan Ali.

Disoal Hakim Sequerah sama ada terdapat kemungkinan saksi berkenaan boleh hadir ke mahkamah esok, doktor berkenaan memberitahu, batuk yang dihidap Nur Aida adalah jenis yang mudah menjangkiti oleh lain oleh itu memerlukan masa sekurang-kurangnya dua hari untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Perbicaraan bersambung 7 Februari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN