PETALING JAYA: Menerima kecaman daripada segelintir warganet, pereka fesyen, Razman Razmi tampil menjelaskan konsep di sebalik busana yang disarung pengacara popular, Datuk Aznil Nawani ketika pentas akhir The Mask Singer musim keempat.
Jelas Razman, busana tersebut diinspirasikan daripada pakaian ketika zaman kegemilangan Mesir sekali gus melambangkan kekuatan dan kegemilangan golongan bangsawan.
“Headgear itu contohnya dipakai oleh golongan bangsawan dan pemerintah berkuasa di Mesir ketika itu. Bersesuaian pula dengan tema The Mask Singer sendiri yang meraikan fesyen dan seni.
“Kami cuba membawa kelainan menerusi penampilan Aznil seiring dengan kehendak program supaya lebih menyeronokkan dan menghiburkan penonton. Soal kecaman, masing-masing ada pendapat.
“Bagi kami, fesyen itu bebas dan tidak terikat dengan satu pandangan. Asalkan bersesuaian dengan konsep, tempat dan waktu, tidak salah. Lainlah kalau pakai baju itu ke kenduri kahwin,” ujarnya.
Tampil menggayakan busana rona merah jambu, Aznil atau lebih mesra disapa Paknil menerima pelbagai reaksi termasuk kecaman daripada segelintir warganet yang menganggap baju yang disarung itu sebagai over.
Lantaran itu, ada yang beranggapan tindakan Paknil menutup ruangan komen di hantaran baharunya di Instagram adalah kerana tidak mahu busana itu terus dikecam segelintir netizen.
Dalam pada itu, duo pereka itu berkata, busana dengan tema tersebut juga perlu disarung oleh seseorang yang mempunyai keyakinan tinggi supaya tidak nampak kekok.
“Kalau busana itu tidak boleh digayakan dengan baik, tak guna juga. Kena ada kerja sama dalam menghasilkan sesuatu busana, baru menjadi,” ujarnya.-UTUSAN