GEORGE TOWN : Ketua Menteri, Chow Kon Yeow diminta agar tidak ‘cuci tangan’ berhubung isu kelulusan pembinaan asrama pekerja asing di Teluk Kumbar.
Naib Pengerusi Parti Rakyat Malaysia (PRM), Ravinder Singh berkata, selain itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) tidak sepatutnya menjadikan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebagai ‘kambing hitam’ untuk melepaskan diri.
Ravinder mendakwa, ini kerana kelulusan pembinaan asrama warga asing itu diluluskan oleh SPC yang pengerusinya adalah Kon Yeow sendiri.
”MBPP tidak boleh memberi kelulusan untuk mana-mana projek sekiranya status tanah tidak sesuai dengan jenis projek yang dicadangkan.
”Jadi, status plot tanah (kepadatan plot dan guna tanah) untuk pembinaan asrama warga asing perlu ditukar terlebih dahulu untuk membolehkan pembangunan berkepadatan tinggi (high density) dilaksanakan di Teluk Kumbar,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah menyerahkan kepada Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing Teluk Kumbar dan pemaju untuk membincangkan mengenai bantahan projek asrama warga asing di Teluk Kumbar.
Ini kerana katanya, SPC tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan kelulusan kebenaran merancang yang diberikan oleh MBPP.
Disember lalu, lebih 1,000 penduduk tempatan di Teluk Kumbar mengadakan demonstrasi aman bagi membantah serta mendesak Kerajaan Pulau Pinang untuk segera membatalkan projek pembinaan asrama pekerja warga asing yang dikatakan mampu memuatkan lebih 30,000 pekerja asing di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, Ravinder berkata, untuk makluman semua pihak, pengezonan semula plot tanah tidak dilakukan oleh MBPP tetapi oleh SPC dengan menggunakan garis panduan pengezonan semula tanah.
“Pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar ini telah diluluskan oleh SPC dengan pengezonan semula plot tanah dari kepadatan rendah (low density) kepada kepadatan tinggi (high density).
“Oleh itu, segala kelulusan berkaitan projek asrama warga asing di Teluk Kumbar adalah menerusi SPC dan sebarang pembatalan projek ini juga boleh dibuat melalui SPC dan bukannya MBPP,” katanya.
Tambah Ravinder, garis panduan pengezonan semula tanah di Teluk Kumbar kepada tanah kepadatan tinggi juga dilakukan tanpa mengambil kira pandangan penduduk setempat.
”Pengezonan semula tanah ini mesti dibuat dengan mengambil kira pandangan penduduk setempat namun SPC didakwa tidak melakukan hal ini,” katanya.-UTUSAN










