'Ibu yakin Angah akan sembuh' - Utusan Malaysia

‘Ibu yakin Angah akan sembuh’

WAN Murni Wan Ngah (tengah) bersama Rosol Wahid (kanan) melihat keadaan anaknya, Muhammad Amirul Nazmi Sam di rumahnya di Kampung Jaba, Bukit Apit, Hulu Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Ibu kepada pelajar cemerlang tajaan Petronas ke United Kingdom (UK ) yang terlantar di Kampung Jaba, Ajil dekat sini akibat saluran darah ke otak pecah yakin anaknya akan sembuh suatu hari nanti.

Wan Murni Wan Ngah, 46, berkata, nalurinya sebagai seorang ibu kuat mengatakan anaknya, Muhammad Amirul Nazmi Sam, 20, mampu menyambung pengajian ke luar negara yang menjadi impian sejak kecil.

Menurutnya, keyakinan itu dikuatkan lagi setelah hasil pemeriksaan doktor akhir bulan lepas mendapati kesihatan anaknya yang mesra dengan panggilan Angah lĺmenunjukkan perkembangan positif.

“Berbanding peringkat awal dulu, sekarang ini telah ada perubahan. Walaupun tidak dapat bercakap, namun Angah mampu berikan isyarat pergerakan seperti geleng kepala serta kerdipkan mata.

“Semua itu sudah buatkan saya gembira. Dia seorang anak yang kuat semangat, saya yakin dia akan pulih. Buat masa ini, tempoh pengajiannya ditangguhkan selama setahun.

“Saya tidak pernah berhenti berdoa dan berharap agak Angah sembuh. Bulan depan, dia akan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu lagi untuk pemeriksaan serta rawatan susulan,” katanya.

Wan Murni berkongsi keyakinan dan harapannya itu ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid ke klediamannya, dekat sini, hari ini.

Utusan Malaysia pada 13 Februari lalu melaporkan impian seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 menyambung pengajian ke UK tahun ini tidak kesampaian setelah terlantar lumpuh sejak Disember lalu.

Muhammad Amirul Nazmi yang dijadualkan ke UK Jun depan bagi lanjutkan pengajian dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) di bawah pembiayaan Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) disahkan doktor alami saluran darah ke otak pecah pada 18 Disember lalu .

Tambah Wan Murni yang merupakan ibu tunggal tiga anak, berkemungkinan besar dia terpaksa berhenti kerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah di Wakaf Tapai bagi memberi tumpuan penuh menjaga anaknya .

“Sekarang ini saya bercuti tanpa gaji sehingga bulan depan. Saya tiada pilihan selain berhenti kerja sekiranya cuti tanpa gaji tidak dapat disambung nanti,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN