Ibu saya baca komen mereka - Aina Abdul - Utusan Malaysia

Ibu saya baca komen mereka – Aina Abdul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Ibu, sudah. Tutup telefon.”

ITU pesan penyanyi terkenal, Aina Abdul, setiap kali hati ibunya terluka membaca cerita kontroversi yang bertebaran di media sosial membabitkannya. 

Menurut Aina, ibunya, Zaini Abdullah adalah peminat juga pengkritik nombor satu. 

Walaupun tidak menemani Aina di mana-mana persembahan atau anugerah membabitkan penyanyi itu, namun Zaini tidak pernah terlepas mengikuti perkembangan kerjaya anaknya.

“Saya percaya kejayaan yang saya kecapi hari ini berkat doa ibu. Dia peminat dan juga pengkritik nombor satu, lebih-lebih lagi soal pakaian saya.

“Saya akan terima mesej, yang boleh jadi pujian atau teguran, selepas selesai membuat persembahan.

“Ibu memang tidak menemani saya ke mana-mana. Saya lebih lega begitu kerana saya risau akan kesihatan dan keadaannya,” katanya.

Tanpa platform media sosial, ibu Aina memilih untuk menonton YouTube bagi mengetahui perkembangan karier anaknya.

Namun, Aina risau dengan komen jahat warganet kepadanya yang turut dibaca ibunya .

“Komen yang saya terima tidak semuanya indah. Lebih membimbangkan ibu saya akan ‘serap’ komen-komen jahat itu ke dalam dirinya. 

“Jadi tugas saya untuk lawan balik komen-komen berkenaan di depan ibu saya agar dirinya tenang,” katanya.

GEMPAK MOST WANTED

Tuah terus memihak kepada penyanyi kelahiran Johor Bahru itu apabila dia dinobatkan pemenang Lagu/Audio Tergempak 2023 sempena Gempak Most Wanted Awards 2023, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad lalu.

Aina bersyukur kerana mempunyai peminat yang selama ini sanggup jatuh bangun bersamanya.

“Saya sebenarnya tak sangka akan memenangi anugerah ini namun saya anggap ini semua rezeki kelab peminat. 

“Mereka yang akan mengingatkan antara satu sama lain untuk terus mengundi Aina. Kemenangan ini adalah milik peminat saya,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN