SHAH ALAM: Syarikat konsesi pembekalan air di negeri ini, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dijadualkan membayar balik pinjaman kepada kerajaan negeri sebanyak RM248.7 juta bermula tahun 2031.
Pembayaran balik pinjaman tersebut dijadualkan selama 20 tahun yang dimulakan selepas tempoh 10 tahun daripada tarikh permulaan pengeluaran pertama pembiayaan oleh kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pinjaman berkenaan melibatkan pelaksanaan Projek Penggantian Paip Air Lama di seluruh negeri ini, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Selaras dengan terma dan syarat yang dipersetujui sebelum ini, pinjaman ini dijadualkan untuk dibayar balik secara ansuran selama 20 tahun dan hanya dimulakan selepas tempoh 10 tahun daripada tarikh permulaan pengeluaran pertama pembiayaan.
“Jadual bayaran balik akan dikutip mulai 2031 sehingga 2046 dengan jumlah ansuran pertama yang perlu dilunaskan adalah RM7.175 juta mulai tahun 2031 dan seterusnya sebanyak RM12.435 juta setahun daripada tahun 2032 sehingga 2046),” katanya ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan pada Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, hari ini.
Pertanyaan lisan itu ditanya Harrison susulan Laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan di Parlimen pada 10 Oktober tahun lalu berhubung bayaran pinjaman Air Selangor.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan pada sidang sama, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han memaklumkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tidak akan mengalami kerugian dalam pelaksanaan dasar amalan Alam Sekitar, Urus Tadbir dan Sosial (ESG).
Menurutnya, beliau sedia maklum cabaran dihadapi PMKS untuk mematuhi amalan ESG termasuk faktor kurang pendedahan mengenai kepentingan melaksanakannya dalam pentadbiran perniagaan.
“Cabaran lain adalah masalah aliran tunai dan kos yang tinggi untuk mendapatkan pakar dalam membantu pematuhan ESG di dalam syarikat.
“Sebenarnya pematuhan ESG tidak akan mendatangkan kerugian kepada syarikat kerana ESG dirangka untuk membantu organisasi lebih berdaya maju dan berdaya saing.
“Sebaliknya, SME lebih berisiko untuk menanggung kerugian sekiranya tidak mula menitikberatkan amalan ESG. Antara risiko yang dimaksudkan adalah risiko kawal selia, risiko kewangan dan potensi pelaburan, risiko keberkesanan operasi, risiko inovasi dan pertumbuhan syarikat, serta risiko kehilangan reputasi di peringkat tempatan dan global,” jelasnya.
Katanya lagi, pematuhan ESG mampu memberi manfaat kepada PMKS meningkatkan daya saing, inovasi, tambah baik kecekapan operasi, meningkatkan akses kewangan dan pasaran, perhubungan dengan pihak berkepentingan serta reputasi syarikat. – UTUSAN










