Hadir di pejabat waktu malam, pantau anggota menerusi walkie-talkie - KPN

Hadir di pejabat waktu malam, pantau anggota menerusi walkie-talkie – KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin menegaskan, penggunaan walkie-talkie perlu disegerakan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) bagi memantau pergerakan elemen di lapangan.

Beliau berkata, peranan barisan KBSJD perlu dioptimumkan untuk menyelia, memantau dan berani menegur pegawai atau anggota bawahannya dalam melaksanakan tugas harian.

“Saya juga telah memberi arahan untuk semua KBSJD hadir pada waktu malam di pejabat untuk bersama-sama melaksanakan pengoperasian di setiap daerah,” tegas beliau.

Selain itu, Tan Sri Razarudin turut mengharapkan siri latihan dan perkongsian ilmu daripada KBSJD diperkukuh demi melahirkan pegawai pelapis yang mahir dalam bidang siasatan.

“Kecekapan penyeliaan yang sempurna dan perkongsian pengalaman menerusi siri latihan dan kursus secara berterusan perlu dilaksanakan.

“Saya yakin dan percaya bahawa dengan kebijaksanaan dan kelebihan sedia ada akan meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap Pasukan khasnya JSJ,” ujar beliau.

Terdahulu, Razarudin merasmikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bilangan 1/2024 di Dewan KPN, Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur (KL) dekat Cheras.

Selepas ucapan aluan oleh Pengarah JSJ, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, Razarudin telah menyampaikan ucapan perasmian dan amanat di hadapan hampir 100 warga JSJ.

Seusai merasmikan mesyuarat, beliau turut berbesar hati menyaksikan penyerahan Buku Laporan Pasukan Operasi DVI Insiden Pesawat Terhempas di Lebuhraya Elmina East, Shah Alam di antara Mohd Shuhaily dengan Komandan Maktab PDRM KL,Datuk Abu Samah Mohd Noor.

Yang hadir sama, barisan Timbalan Pengarah dan Ketua Penolong Pengarah JSJ Bukit Aman, Ketua-ketua Pusat Pengajian Maktab PDRM Kuala Lumpur dan Setiausaha Polis Malaysia, DCP Alzafny Ahmad. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×