KUALA TERENGGANU: Empat individu termasuk guru besar ditahan bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu membabitkan pembekalanan makan minum dan kontrak pembersihan bernilai lebih RM1.3 juta.
Menurut sumber, semua suspek disyaki berkomplot mengemukakan tuntutan palsu pembekalan makan minum murid di asrama sebuah sekolah rendah sejak 2022 sehingga 2023.
Katanya, guru besar, ketua pembantu tadbir dan dua pengurus syarikat itu dikatakan telah membuat tuntutan RM1.3 juta ke atas 100 murid sedangkan jumlah sebenar hanyalah 35 orang.
Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyiasat tuntutan palsu daripada empat suspek itu melibatkan kontrak pembersihan bernilai RM35,000 di sekolah yang sama.
“Siasatan awal mendapati mereka mengemukakan tuntutan palsu pembekalan makan murid murid dan kontrak pembersihan berkenaan bermula 2022 sehingga 2023.
“Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 30-an sehingga 50-an telah ditahan di Pejabat SPRM Negeri Terengganu ketika hadir memberi keterangan sekitar pukul 11 pagi tadi,” ujarnya.
Sumber itu menjelaskan, keempat-empat suspek tersebut akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu bagi mendapatkan permohonan reman untuk membantu siasatan, esok.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd. Yazid, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan tidak menolak kemungkinan terdapat tangkapan susulan selepas ini. – UTUSAN










