KLANG: Situasi pendapatan rendah terutama yang diterima oleh anggota polis berpangkat konstabel bukan faktor utama berlaku jenayah rasuah dalam kalangan pasukan penguatkuasa itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebaliknya kejadian jenayah rasuah itu bergantung kepada tahap integriti setiap pegawai dan anggota apabila terdapat juga individu berpangkat tinggi terlibat dengan rasuah.
Menurutnya, kesedaran dan pendidikan tentang jenayah rasuah perlu ditanam dalam kalangan anggota dan pegawai kerana terdapat data atau peratusan yang menunjukkan individu berpangkat tinggi turut didakwa di mahkamah seperti dilaporkan akhbar.
“Tetapi, kita biasa dengar berita, pengarah (pangkat tinggi) pun kena tangkap. Pengarah di syarikat itu, ini, ada juga kena tangkap. Adakah gajinya sedikit? Sebab itu saya cakap itu salah satu faktor. Betul dan saya akui.
“Memang ada Malaysia Crime Watch (MCW) ada sebut berkenaan dengan gaji kita yang rendah, itu sebenarnya salah satu faktor. Kalau banding dengan Singapura, gaji mereka tinggi dan polis mereka tiada rasuah. Itu betul.
“Itu mengikut negara dia yang kecil. Negara kita sahaja, polis ada 137,000, itu akan bertambah dan pada tahun ini akan masuk 4,000 lagi. Jadi, kalau jumlahkan semua ada 142,000.
“Itu salah satu, kerana saya mengambil indikasi begini, kalau kata gaji konstabel rendah dia masuk dengan gaji RM1,441 dengan semua elaun campur dapatlah RM2,500. Duduk di Kuala Lumpur memang dia miskin di bandar,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pasar Pagi Pandamaran, hari ini.
Beliau menambah, isu tersebut turut dibawa kepada kerajaan dan perkara berkenaan akan ditentukan berdasarkan kedudukan kewangan negara.
Dalam pada itu, Razarudin turut meminta masyarakat supaya tidak gentar untuk melaporkan salah laku anggota dan pegawai polis termasuk dirinya sendiri jika didapati melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan undang-undang.
Kita memang mengalu-alukan sangat masyarakat di seluruh negara dan sekarang, saya juga perlu menyatakan masyarakat ada hak dari segi undang-undang, perlembagaan sekiranya mana-mana pegawai polis termasuk diri saya, sekiranya melanggar undang-undang, tidak mengikut peraturan, laporkan.
“Kita hendak, kita tak mahu condone, anggota, pegawai atau diri saya sendiri pun, laporkan kalau tak betul, supaya kita boleh menyiasat dan siasatan kita akan adil,” tegasnya. – UTUSAN










