SHAH ALAM: Fenomena El Nino yang dijangka melanda negara sehingga Jun depan tidak menjejaskan sumber bekalan negara setakat ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, cuaca panas berpanjangan itu tidak mempengaruhi bekalan daripada petani, penternak dan nelayan.
“Sumber bekalan ketika ini masih mencukupi biarpun fenomena itu diramal lebih kritikal pada tahun depan. Kementerian sememangnya ada menerima aduan biasa contohnya daripada petani tetapi ia melibatkan masalah alat timbangan.
“Namun, Insya-Allah sumber bekalan makanan masih terjamin dan mencukupi,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Minggu lalu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Muhammad Helmi Abdullah memaklumkan El Nino dengan intensiti kuat yang sedang melanda dunia ketika ini dijangka berterusan hingga pertengahan tahun ini.
Fenomena itu bermula sejak pertengahan tahun lalu dan boleh berterusan sehingga 18 bulan.
Dalam pada itu, Mohamad menasihatkan, semua penternak, petani dan nelayan bagaimanapun diminta supaya ‘sediakan payung sebelum hujan’.
“Cuaca panas ini akan dihadapi dalam tempoh lama dan golongan itu perlu mematuhi semua arahan pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan (KKM). Ia turut melibatkan pesawah terutama di utara tanah air yang cuacanya mungkin lebih panas berbanding negeri lain,” jelasnya.
Tambah Mohamad, pihaknya turut dijangka menyertai mesyuarat bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi membincangkan persiapan negara menghadapi El Nino minggu depan.
“Saya setakat ini belum dimaklumkan mengenai perkara itu namun kita tidak bergerak silos akan menyelesaikannya secara bersama,” ujarnya. – UTUSAN










