El Nino jejas kualiti sayur, bunga di Cameron Highlands

El Nino jejas kualiti sayur, bunga di Cameron Highlands

FENOMENA El Nino dikhuatiri menjejaskan kualiti sayur dan bunga yang ditanam di Cameron Highlands.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Pekebun sayur dan bunga di Cameron Highlands menjangka dua tanaman itu akan terkesan dengan fenomena El Nino yang diramal berterusan sehingga Mei ini.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Timbalan Pengerusi Persatuan Penanam Bunga Cameron Highlands, Wong Seng Yee berkata, dua tanaman itu mungkin terkesan jika kekurangan air berpanjangan disebabkan fenomena tersebut.

Menurutnya, bagi pekebun di sini, kesan fenomena El Nino sudah mulai dirasai apabila perubahan cuaca dan suhu yang drastik sejak kebelakangan ini di kawasan tanah tinggi itu.

Katanya, cuaca berubah begitu drastik apabila suhu pada siang hari sangat panas sehingga 27 atau 28 darjah Celsius manakala pada sebelah malam turun sehingga 16 atau 17 darjah Celsius.

“Suhu yang jatuh sehingga 16 atau 17 darjah Celsius pada waktu malam pemeluwapan mudah tercapai dan menyebabkan kelembapan agak tinggi pada permukaan daun.

“Walaupun kelembapan baik untuk tanaman tetapi kelembapan yang terlalu tinggi akan mendedahkan tanaman kepada penyakit dan serangan serangga, bermakna tumbesaran pokok akan terganggu.

“Saya menjangkakan kesan daripada fenomena El Nino tidak akan menjejaskan kuantiti pengeluaran sayur dan bunga di sini cuma kualiti tanaman agak terjejas disebabkan serangan penyakit dan serangga,” katanya.

Menurutnya, cuaca panas pada sebelah siang tidak begitu menjejaskan tanaman kerana kelembapan tanaman boleh dikekalkan dengan menyiram pokok lebih kerap.

Katanya, apa yang menjadi cabaran ialah jika berlaku kekurangan air untuk tanaman semasa fenomena El Nino nanti.

“Kekurangan air untuk menyiram atau menyejukkan tanaman menjadi antara cabaran kepada pekebun di sini semasa El Nino, apatah lagi jika ia berpanjangan,” jelasnya.

Seng Yee mengakui kebanyakan pekebun di sini bimbang berlaku kekurangan air untuk tanaman apatah lagi  ramalan fenomena El Nino berterusan sehingga Mei ini.

Menurutnya, sebagai pekebun, mereka akan sentiasa memantau perkembangan ramalan cuaca setempat untuk memastikan tanaman mendapat bekalan air yang secukupnya.

“Kalau ikut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) MET, fenomena El Nino kali ini akan ‘violant’, sangat drastik. Kalau ia berlaku dalam tempoh yang panjang dan terlalu drastik sehingga menyebabkan kekurangan air untuk tanaman, ia akan menjejaskan kualiti tanaman.

“Kecuali jika kerajaan ada langkah tertentu seperti membuat  empangan atau tangki air untuk pekebun mendapatkan sumber air untuk tanaman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN