KUALA LUMPUR: Dua saksi utama pendakwaan dalam kes rasuah membabitkan bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Mohamad Sabu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam bagi tuduhan memberi keterangan palsu pada perbicaraan itu.
Dalam prosiding itu, bekas Pengarah Syarikat Aqsa Solutions Sdn. Bhd., Ahmad Hisham Mohd. Tajuddin, 54, didakwa empat pertuduhan iaitu memberikan keterangan yang bercanggah di mahkamah dengan pernyataan yang diberikan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada 2 November 2022.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam perbicaraan membabitkan Mohd. Azhar Che Mat Dali di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 8, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 9 Mei dan 9 Jun 2023.
Sementara itu, tertuduh kedua, bekas Pengarah Syarikat Ikaira Resources, Zainudin Abdul Majid, 53, yang juga adik kepada Ahmad Hisham didakwa lima pertuduhan melakukan perbuatan serupa dalam perbicaraan sama pada 21 Mac dan 7 April 2023.
Pada 15 Januari lalu, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Mohd. Azhar daripada tujuh pertuduhan menerima dan meminta rasuah berjumlah RM6.48 juta daripada syarikat kontraktor bagi membantu mendapatkan projek di kementerian itu.
Antara pertuduhan yang dikenakan ke atas Mohd. Azhar ialah menerima suapan RM1.35 juta daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sdn. Bhd., Elias Jemadi Tajudin melalui Zainudin dan Ahmad Hisham sebagai upah membantu syarikat itu untuk dipilih menjadi rakan strategik dan kontraktor senggaraan bagi peralatan perisikan Kementerian Pertahanan.
Pertuduhan terhadap dua beradik itu dikemukakan mengikut Seksyen 27(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 26 Februari ini untuk sebutan semula kedua-dua kes. – UTUSAN










