Derita warga Palestin cetus single Bangkit - Utusan Malaysia

Derita warga Palestin cetus single Bangkit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Rasa sedih dan sakit hati menonton penderitaan bayi dan anak kecil ketika menonton klip video serangan menggila Rejim Zionis terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza mencetuskan gelombang perjuangan menerusi medium muzik nasyid.

Menerusi perbincangan  kumpulan di aplikasi Whatsapp maka timbul idea untuk sebuah lagu  menjadi single baharu sebagai tribute kisah tragis tersebut.

Projek single melibatkan Gabungan Alumni Akademi Nasyid (yang merupakan sebuah rancangan stesen TV) menampilkan sebuah lagu yang diberi judul ‘Bangkit’ ciptaan komposer, Alif Azhari Ismail menggabungkan 22 penyanyi terdiri daripada individu dan berkumpulan yang berbeza latar belakang dan kerjaya. 

Mereka terdiri daripada Aiman Sidek, Alif Azhari, Dvision, InHeart, Muslim Voice, Sofieya, Taufek, Faisal Firdaus, dan Eda Fazilah.

Menurut Alif Azhari, lagu tersebut adalah solidariti sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin dalam memperjuangkan kemerdekaan Al-Quds daripada kezaliman dan penindasan yang jelas diuar-uarkan di media sosial dan media arus perdana lewat ini.

“Projek ini merupakan inisiatif untuk meningkatkan kesedaran umat Islam khususnya rakyat Malaysia malahan umat Islam di dunia tentang tuntutan perjuangan dan patriotisma yang dituntut oleh Allah SWT dan baginda Nabi Muhammad SAW.

“Mewakili kesemua yang terlibat, kami kumpulan penyanyi dan penyanyi berbesar hati bekerjasama dalam menyiapkan projek single ini,”katanya di sini baru-baru ini.

Alif Azhari berkata, pihaknya berasa sedih dan terlalu geram apabila saudara seagama di Gaza ditindas secara terang-terangan, tetapi yang lebih mengecewakan bila umat Islam di sini tidak mampu untuk membantu dengan lebih jauh lagi.

“Jadi, sebagai penyanyi, komposer, dan penulis lirik, bagi saya, ini medan perjuangan saya dan rakan-rakan iaitu melalui tinta dan alunan suara.

“Dengan keadaan dunia yang kini cakna dengan kebenaran yang jelas berperang dengan kebatilan yang nyata, lagu ini merupakan luahan dan kompilasi suara perjuangan umat islam di seluruh dunia untuk membangkitkan lagi semangat perjuangan umat Islam di akhir zaman yang kian tegang dan mencabar.

“Lagu ini menggambarkan ketabahan, keberanian, dan semangat juang yang membara umat Islam dalam membela Al-Quds dalam menuntut keadilan.

“Lagu ini juga akan membawa pendengar merenungkan erti sejati perjuangan dan harapan membara yang tak pernah terpadam dalam hati umat Islam untuk menyokong dan berjuang demi kemerdekaan bagi tanah Palestin yang tercinta.

“Single ini juga merupakan ekspresi umat Islam khususnya di Nusantara tentang semangat jihad yang perlu ada pada setiap individu,” katanya.

Jelasnya lagi, pihaknya berharap lagu ini dapat menyemarakkan semangat perjuangan dalam kalangan umat Islam.

Mengulas lanjut beliau percaya, muzik boleh menjadi asbab penyatuan umat Islam sebagai salah satu medium pembakar semangat melalui melodi, mesej dan susunan lagu yang sesuai.

“Harapan kami, kesemua petugas media dan pejuang agama Allah yang syahid di medan perang, semoga Allah menggantikan dengan nikmat pengakhiran husnul khatimah dan nikmat syurga yang tiada tandingannya,”ujarnya.

Lagu ‘Bangkit’ terbitan Soofi Studio dengan kerjasama Ctone Studio, Pondok Rahmat Project, dan MY Cyber Studios kini boleh dilayari di laman Youtube, Soofi Studio Bangkit -Akademi Nasyid Malaysia (Official Lyric Video) Bangkit” dilancarkan pada 26 Januari lalu dan boleh didapati di pelbagai platform penstriman termasuk Spotify, Apple Music, Tiktok, Amazon, Joox dan YouTube.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN