KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan merampas dadah jenis syabu seberat 205 kilogram yang dianggarkan bernilai RM6.85 juta, di sini baru-baru ini.
Sindiket itu menggunakan taktik membungkus dadah ke dalam plastik teh Cina pelbagai jenis yang dihantar menggunakan perkhidmatan kurier dari Semenanjung ke Kota Kinabalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd. Nasir Deraman berkata, hasil maklumat dan risikan Pasukan Tempur Medan Operasi Kastam (Cobra), pihaknya mengesan 15 kotak bungkusan dengan imej yang mencurigakan semasa tiba di Gudang Pos Aviation pada 15 Februari lalu, kira-kira pukul 9.10 pagi.
“Susulan itu, Pasukan Tempur membuat serbuan ke atas sebuah premis (kurier) di Penampang. Hasil pemeriksaan lanjut ke atas 15 kotak ini yang diimbas menggunakan alat pengesan dadah mendapati kandungan 15 kotak tersebut adalah dadah jenis syabu dengan berat kira-kira 205 kilogram yang dianggarkan bernilai RM6.85 juta. Kesemua dadah dijumpai dalam bungkusan teh Cina pelbagai jenis.
“Tiada sebarang tangkapan dalam kes ini dan usaha mengesan pihak terlibat masih diteruskan. Memandangkan penghantaran dibuat untuk dituntut di premis kurier maka, kita akan meneruskan usaha mengesan pengirim dan pemilik bungkusan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Penguatkuasaan Kastam, di sini hari ini.
Beliau berkata, modus operandi yang digunakan sindiket itu adalah menggunakan perkhidmatan kurier dengan memasukkan dadah ke dalam plastik yang kemudian dibungkus dengan plastik teh Cina pelbagai warna dan jenis untuk mengelak dadah dikesan oleh pihak berkuasa.
Menurutnya, bungkusan tersebut dihantar menggunakan kargo dari Semenanjung Malaysia ke KKIA dan tiada alamat pemilik bungkusan tersebut kerana ia dialamatkan di premis syarikat kurier untuk pungutan sendiri.
Mohd. Nasir berkata, itu adalah rampasan terbesar dadah untuk tahun ini dan sekiranya terlepas ke pasaran, dadah seberat 205 kilogram itu untuk kegunaan kira-kira 600,000 penagih.
Ditanya sekiranya sindiket itu menjadikan Sabah sebagai transit, beliau berkata, kes masih dalam siasatan, maka aspek sebegitu juga akan disiasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati dan penjara seumur hidup dengan sebat tidak kurang 12 sebatan.
Mengulas lanjut, katanya, JKDM Zon Sabah juga menyeru orang awam agar memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat Kastam terdekat. Semua pemberi maklumat akan dirahsiakan. – UTUSAN