MELAKA: Pempengaruh media sosial, Yew Boon Xiang, 30, atau lebih dikenali sebagai ‘Boss Mario’ yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu telah ditemukan polis.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit sebentar tadi.
Beliau berkata, Mario memaklumkan kehilangannya sebelum ini adalah kerana ingin mengasingkan diri untuk mencari ketenangan berikutan tekanan perasaan.
Jelasnya, lelaki itu telah mendaftar masuk di sebuah hospital swasta di negeri ini pada pukul 2.15 petang tadi untuk mendapatkan rawatan.
“Orang hilang sudah dijumpai. Dari mula hilang, dia duduk rumah kosong di Klebang. Mario memaklumkan dia tertekan berkenaan urusan syarikat,” katanya ringkas kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, hampir tiga hari berlalu, kehilangan Mario kekal misteri tanpa sebarang petunjuk.
Menurut adiknya, Yew Lee Lee, 27, Mario yang mengusahakan perniagaan menjual peralatan gajet dipercayai hilang sejak Jumaat lalu, selepas keluar memandu ke Pantai Klebang di sini, sekitar pukul 3 pagi.
Lee Lee berkata, hanya kereta abangnya ditemukan di lokasi berkenaan dalam keadaan berkunci, namun sehingga hari ini mereka masih gagal menemukan sebarang petunjuk akan keberadaan Mario.
Jelasnya, kali terakhir Mario berhubung melalui aplikasi WhatsApp adalah kira-kira pukul 8 pagi pada hari kejadian. – UTUSAN










