Bina pangkalan hadapan atasi jenayah perikanan - Utusan Malaysia

Bina pangkalan hadapan atasi jenayah perikanan

Pangkalan hadapan
AMIRUDIN Shari meninjau kawasan perairan di sekitar Sabak Bernam yang dikenal pasti sebagai tempat pembenihan dan pembiakan kerang Selangor. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kerajaan negeri bercadang menempatkan pangkalan hadapan di sepanjang perairan Pantai Barat dari Sabak Bernam hingga ke Kuala Selangor bagi memantau dan mengawal aktiviti jenayah perikanan di kawasan tersebut.

Ini kerana, terdapat 10 kawasan dikenal pasti sebagai lokasi panas aktiviti kecurian benih dan anak kerang yang menjejaskan tangkapan hasil laut itu di Selangor.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pangkalan tersebut boleh digunakan oleh agensi penguatkuasaan serti Jabatan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Marin dan Jabatan Perikanan untuk menempatkan aset mereka bagi memantau dan mencegah aktiviti terbabit.

“Kesemua tapak-tapak itu ada dalam penelitian cuma tindakan susulan yang perlu dilakukan kerana ada beberapa kekangan yang melibatkan undang-undang, peraturan dan peralatan. Jadi itu yang kita akan atasi dalam masa terdekat dan juga ada beberapa isu teknikal dan strategik yang kita kena ambil.

“Paling tidak, ia memberikan peringatan bahawa operasi yang berterusan dilakukan dan pada bila-bila masa mereka boleh ditahan kerana kesalahan yang dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat perairan sepanjang 60 batu nautika (112 kilometer) dari Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam hingga ke Pelabuhan Klang, hari ini.

Tambahnya, menerusi kewujudan pangkalan tersebut, pihak berkuasa dapat menyiasat dan mengenal pasti secara terperinci individu yang terlibat dengan aktiviti kecurian benih dan anak kerang serta jenayah perikanan lain seperti penggunaan bubu naga.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan tindakan penguatkuasaan tersebut adalah penting untuk memelihara aktiviti pembiakan kerang di sepanjang perairan di negeri ini yang dianggap hasil bergred tinggi.

“Masalahnya, harga kerang mahal itu sementara, tetapi hal lebih panjang ialah kita kehilangan warisan yang sangat besar. Kualiti kerang di Selangor adalah antara gred sangat disukai berbanding tempat lain dari segi isinya lebih besar dan rasanya lebih baik.

“Kerang (di Selangor) amat berharga sebab itu ia dihantar atau diseludup ke negara jiran atau dijual ke beberapa orang. Jadi, ada orang yang ingin ambil kesempatan, peluang pendek atau shortcut untuk mendapat keuntungan.

“Tetapi, akhirnya warisan kita yang sangat berharga itu akan hilang. Sedangkan itu adalah untuk nelayan-nelayan tempatan ataupun pengusaha-pengusaha tempatan, tetapi ada orang yang tidak bertanggungjawab, saya pasti ada orang tempatan terlibat,” tegasnya.

Selain itu, beliau turut mengenal pasti kawasan yang terlibat dengan masalah pencemaran seperti di Kampung Tok Muda Kapar termasuk mengarahkan pembentangan laporan kajian kesan pencemaran yang dilakukan oleh SIRIM.

“Aspek itu akan segera diambil tindakan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan dalam tempoh terdekat saya minta satu laporan kajian yang dibuat oleh SIRIM dibentangkan berkenaan dengan kesan-kesan daripada pencemaran yang kita akan dapat atasi sepenuhnya selepas kita melaksanakan zero discharge policy (ZDP) ataupun polluters pay principle yang akan dilaksanakan oleh LUAS.

“Kita sudah meminda beberapa enakmen yang membolehkan agar pelaksanaannya dilakukan, insya-Allah ia akan dibuat secara berperingkat dan tidak boleh mengejut kerana memberikan kejutan besar kerana melibatkan kos kepada pemegang-pemegang premis serta pelaksana projek kolam udang dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN