Bekas pengurus Mardi salah guna kuasa dipenjara dua tahun - Utusan Malaysia

Bekas pengurus Mardi salah guna kuasa dipenjara dua tahun

MOHD. Saiful Nizam (dua, kanan) yang dijatuhkan hukumam penjara dua tahun atas kesalahan salah guna kuasa dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas pengurus inkubator Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dipenjara dua tahun atas kesalahan salah guna kuasa pada 2015.

Tertuduh, Mohd. Saiful Nizam Hussin, 43, turut dikenakan denda RM85,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini dan berdepan hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayarnya.

Hakim Dazuki Ali membuat keputusan itu hari ini setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencadangkan sebut harga syarikat milik isterinya bagi mendapatkan kerja tambah baik sistem pemotongan produk kilang jejari berjumlah RM17,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada Mac 2015 di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Dalam prosiding hari ini, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal mengambil kira kepentingan awam selain faktor tertuduh selaku penjawat awam yang telah mengkhianati amanah digalasnya.

Hakim menerusi penghakimannya kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM85,000 terhadap Mohd. Saiful Nizam bermula tarikh sabit kesalahan iaitu hari ini.

Hakim bagaimanapun membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan hukuman penjara yang dikenakan ke atas tertuduh.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili Mohd. Asaari Salleh sebagai peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN