KLANG: Rasa bertuah dan teruja dua ibu menerima cahaya mata masing-masing dekat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini pada 29 Februari, hari ini merupakan tahun lompat yang datang setiap empat tahun sekali.
Menurut Nur Atikah Haida Zulkafli, 28, bagaimanapun anak keduanya itu, Nur Hana Muhamad Muzamil perlu dilahirkan melalui pembedahan pada hari ini apabila sudah pun melepasi tarikh jangkaan doktor.
“Kalau ikut due date, dia sepatutnya lahir pada 27 Februari lalu, lewat lebih sehari, tetapi syukur yang penting bayi sihat. Agaknya mungkin Nur Hana ‘tunggu’ tarikh istimewa untuk melihat dunia.
“Saya pun tak sabar hendak pulang ke rumah mahu berjumpa dengan anak sulung, Muhamad Nuh, 4, dia pun sebenarnya sangat teruja untuk bertemu dengan adiknya buat kali pertama,” katanya ketika ditemui di Wad Penjagaan Ibu dan Bayi di hospital berkenaan, hari ini.
Nur Atikah selamat melahirkan Nur Hana kira-kira pukul 11.56 pagi tadi.
Bagaimanapun, cerita sebaliknya pula berlaku kepada wanita istimewa, Norashiella Abd. Lemutalib, 34, apabila tanda-tanda kelahiran datang lebih awal daripada tarikh sepatutnya pada 7 Mac ini.
“Air ketuban pecah, bergegas suami, Fadly Asmara Dewin bawa saya ke hospital. Terpaksalah bersalin awal, tak sangka pula jatuh pada tarikh tahun lompat. Alhamdulillah, anak lahir ke lima kami kira-kira pukul 9.03 pagi dan berada dalam keadaan sihat.
“Lebih istimewa, kami pun tidak membuat pemeriksaan ketika hamil untuk menentukan jantina anak. Namun, kami anggap sebagai kejutan dan rezeki dari Allah SWT dan akan tentukan nama anak perempuan kami tidak lama lagi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi HTAR memaklumkan seramai 17 bayi yang lahir pada 29 Februari, setakat pukul 2 petang.
Daripada jumlah tersebut, 10 bayi adalah berjantina perempuan manakala tujuh lagi lelaki. – UTUSAN










