Apabila seniwati Datuk Sarimah Ahmad mendedahkan mengenai pita asal empat filem hasil terbitannya yang telah dikebas oleh seorang penerbit 36 tahun lalu, satu persoalan yang terbit di minda Cik Bunga, siapakah gerangan lelaki yang dimaksudkan itu?
Menurut Sarimah, penerbit tersebut tidak menepati janji untuk memulangkan semula pita-pita tersebut meskipun pernah ditanya dengan baik sebelum ini.
Kalau tak silap, empat pita tersebut berjudul Kabus Tengah Hari, Detik 12 Malam, Dia Ibuku dan Jejak Bertapak dan menurut Sarimah, kesemuanya mempunyai memori tersendiri buatnya.
Iyalah, hasil kerja sendiri, mestilah ada nilai sentimental buat dirinya bukan? Jadi, siapakah gerangan lelaki tersebut?
Sarimah tidak mendedahkan siapa, namun hasil siasatan Cik Bunga, penerbit tersebut merupakan bapa kepada seorang penyanyi muda yang banyak mencetuskan kontroversi dalam dunia seni hiburan.
Kalau tak silap, dia juga bekas suami kepada seorang penyanyi era 80-an. Difahamkan juga, keadaannya sekarang pun tidak begitu mengizinkan kerana faktor kesihatan.
Tak pasti pula Cik Bunga dia sakit apa sebab khabarnya, ramai juga yang cuba mencari penerbit tersebut untuk pelbagai tujuan tetapi gagal.
Tak adalah Cik Bunga menuduh dia sengaja menyorok, tetapi mungkin kerana nombor telefonnya juga tiada yang tahu.
Pada masa sama, Cik Bunga rasa, anak penerbit tersebut, si penyanyi itu juga tak tahu mengenai perjanjian antara bapanya dengan seniwati itu.
Iyalah, hal orang tuanya, dia pun belum lahir lagi masa itu. Harapan Cik Bunga, penerbit tersebut pun segeralah berbuat apa yang sepatutnya, pulangkan semula pita-pita yang dipinta Sarimah.
Betul juga apa yang seniwati itu katakan, sebelum dia menutup mata, langsaikanlah permintaan tersebut.








