Bapa mengaku salah cederakan anak

Bapa mengaku salah cederakan anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan mencederakan anak kandungnya yang berusia 16 tahun enam bulan di Kendong, Rembau, bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 47 tahun membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan memohon laporan perubatan penuh diperoleh terlebih dahulu sebelum hukuman dijatuhkan pada tarikh yang telah ditetapkan iaitu pada 5 Mac ini.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas anak kandungnya dengan menggunakan kerusi plastik, bakul pakaian dan papan seterika sebagai senjata untuk melakukan kesalahan yang mungkin menyebabkan kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 23 Januari lalu kira-kira pukul 11.45 malam di sebuah rumah di Kendong, Rembau.

Perbuatan itu dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Bagi Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula, tertuduh berhadapan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum yang mana tertuduh boleh dikenakan atas sabitan bagi kesalahan itu.

Terdahulu di Mahkamah Sesyen Seremban, lelaki itu membuat pengakuan tidak bersalah merogol anaknya itu yang di bawah umur dalam kejadian di Kendong pada bulan November tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan maksimum, jika sabit kesalahan.

Hakim, Datin Surita Budin tidak membenarkan sebarang jaminan dan kes tersebut akan disebut semula pada 6 Mac ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.

Pada 24 Januari lalu, media melaporkan seorang remaja perempuan dipukul oleh bapanya menggunakan pelbagai objek sehingga mengalami kecederaan.

Mangsa dipercayai dipukul dengan teruk disebabkan bapanya tidak berpuas hati dengan tindakannya membocorkan rahsia dirogol kepada teman wanita bapanya itu yang turut tinggal di rumah bersama mereka.

Remaja terbabit mengalami beberapa kesan kecederaan di bahagian bahu kanan, kiri, bahagian belakang kepala sebelah kiri, tangan sebelah kanan dan di bibir. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN