Azizul hidupkan peluang emas Olimpik Paris

Azizul hidupkan peluang emas Olimpik Paris

AZIZULHASNI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang menghidupkan semula impian rakyat Malaysia untuk melihat kilauan pingat emas di Sukan Olimpik Paris selepas mempamerkan aksi memukau di Kejohanan Berbasikal Trek Piala Negara-Negara UCI di Adelaide kelmarin.

Biarpun dihimpit masalah kesihatan, Azizul yang berusia 36 tahun masih berupaya untuk bersaing dengan lima lagi pelumba dalam perlumbaan akhir keirin kelmarin sebelum meloloskan dirinya untuk merangkul pingat emas.

Azizul bukan sahaja menafikan gandingan dua pelumba Jepun, Shinji Nakano dan Ota Kaiya yang meraih dengan pingat perak dan gangsa, malahan menewaskan pelumba keirin No. 1 Dunia, Matthew Richardson yang akur berada di tempat kelima di belakang Jack Carlin.

Kali terakhir Azizul berjaya memenangi pingat emas di saingan ini yang turut dikenali sebagai Piala Dunia UCI adalah lima tahun lalu ketika edisi 2019 di Cambridge, New Zealand.

Dia berpotensi untuk menambah pingat keduanya di kejohanan ini namun mengambil keputusan menarik diri ketika berdepan pelumba Australia, Matthew Glaetzer untuk penentuan pingat gangsa acara pecut bagi mengelak memberi tekanan terhadap jantungnya.

Begitupun, kejayaan Azizul masih petanda yang positif untuk kem Malaysia menuju ke Sukan Olimpik Paris 2024 memandangkan beberapa atlet yang menjadi sandaran dalam program ‘Road to Gold’ (RTG) belum lagi menghasilkan kejayaan memberangsangkan untuk tahun ini.

“Kali terakhir saya memenangi Kejohanan Piala Negara-Negara adalah lima tahun lalu, dan saya bertarung kali ini dengan keadaan jantung saya, ditambah saya juga telah menjalani pembedahan sebelum ini.

“Tetapi semua itu tidak mampu untuk menghalang saya. Saya kembali dan berjaya menang pingat emas dan saya boleh katakan ini adalah antara saingan keirin yang paling sukar saya tempuhi.

“Saya tidak katakan yang saya dalam keadaan terbaik ketika ini, kerana tiga empat minggu lalu saya bergelut dengan masalah kesihatan. Tetapi dalam kehidupan ini kita kena terus berjuang, saya beruntung kerana dapat menjalani latihan dengan beberapa pelumba Australia di Melbourne, dan itu membantu saya.

“Mungkin ketika ini saya belum berada di tahap terbaik, tetapi secara perlahan-lahan saya akan kembali ke tahap itu. Kita masih ada enam bulan lagi, dan saya harap saya akan berada di tahap terbaik apabila di Paris nanti,” jelas Azizul. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×