'Anggota bomba terpaksa pikul hos pemadam api ke tingkat 17'

‘Anggota bomba terpaksa pikul hos pemadam api ke tingkat 17 guna tangga’

TERPAKSA memikul hos pemadam api dengan menaiki tangga sehingga ke tingkat 17, Blok 70 Flat Sri Sabah antara cabaran dihadapi anggota bomba untuk memadam kebakaran di flat itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Terpaksa memikul hos pemadam api dengan menaiki tangga sehingga ke tingkat 17, Blok 70 Flat Sri Sabah antara cabaran dihadapi anggota bomba untuk memadam kebakaran di flat terbabit, malam tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Nor Hisham Mohamad berkata, pasukan bomba berhadapan beberapa kesulitan untuk memadam kebakaran yang memusnahkan lima unit kediaman itu.

Katanya, anggota bomba terpaksa memikul hos pemadam api secara manual menggunakan tangga dan membuat sambungan antara hos ke hos selain membawa pam untuk membolehkan anggotanya memadam kebakaran dengan tekanan air yang kuat.

“Masalah timbul bila kita dapati ada masalah pada Wet Riser System (Sistem Pancur Basah) yang terletak di bahagian tangga tengah bangunan flat berkenaan yang dikesan ada kebocoran.

“Ini menyebabkan masalah pada tekanan air dan seterusnya menyulitkan pihak bomba memadam kebakaran, maka anggota kita terpaksa ambil sedikit masa untuk membuat penyambungan hos sehingga ke tingkat 17.

“Anggota bomba perlu memikul hos yang berat secara manual menaiki tangga dan sambung hos-hos berkenaan sehingga ke tingkat 17 selain membawa sebuah pam yang diletakkan di tingkat 15, itu yang mengambil masa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Nor Hisham berkata, berlaku kerosakan pada ‘valve’ pada salur bantu mula atau ‘hose reel system’ di tingkat berkenaan juga menyebabkan proses pemadaman api oleh ‘first responder’ tidak dapat dilakukan lebih awal.

“Di setiap tingkat memang terdapat salur bantu mula namun dalam kes malam tadi, ada orang awam yang cuba memberi bantuan awal untuk memadam kebakaran menggunakan alat itu namun berlaku kerosakan pada ‘valve’.

“Jika alat berkenaan dapat berfungsi dengan baik, mungkin api dapat dikawal daripada terus merebak dengan lebih awal,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, untuk flat perumahan awam seperti Flat Sri Sabah, pihak yang dipertanggungjawab membuat penyelenggaraan perlu sentiasa membuat pemeriksaan untuk memastikan segala peralatan atau sistem memadam kebakaran dalam keadaan baik dan berfungsi.

“Ia menjadi tanggungjawab awal badan pengurusan bersama (JMB) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya ia perumahan awam.

“Pasukan bomba juga berdepan kesulitan untuk menempatkan jentera ‘turn table ladder’ atau TTL yang digunakan untuk memadam kebakaran tempat tinggi malam tadi kerana tidak cukup ruang akibat terdapat kenderaan penduduk di parkir di kawasan itu.

“Ini masalah yang sering berlaku di kawasan penempatan yang padat. Cara hidup sudah berubah, dahulu dua rumah ada satu kenderaan tetapi kini sebuah rumah sekurang-kurangnya dua kenderaan,” ujarnya.

Dalam kebakaran pada 9.19 malam tadi, sebanyak lima unit di flat terbabit disahkan musnah.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dalam kejadian itu .- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN