LONDON: Juara dunia tujuh kali Formula Satu (F1), Lewis Hamilton akhirnya membuka mulut selepas berita perpindahannya ke Ferrari pada 2025 mencetuskan sensasi di seluruh dunia.
Hamilton, 39 tahun mengakui tindakannya itu mungkin tidak dipersetujui oleh banyak pihak, namun dia nekad untuk merasai cabaran baharu setelah 11 tahun menabur bakti dengan Mercedes.
Ketika ini, Hamilton berkongsi rekod kejuaraan dengan legenda Jerman, Michael Schumacher dan dia secara peribadi mahu mengejar meraih gelaran dunia kelapan dalam kariernya, sekali gus menjadi pelumba F1 terbaik sepanjang zaman.
“Saya amat bangga dengan segala pencapaian yang telah dilakar sebelum ini dan saya bersyukur dengan usaha keras dan dedikasi semua pihak terutamanya Toto (Wolff) atas persahabatan, tunjur ajar dan bimbingannya selama ini.
“Kami telah memenangi banyak gelaran, pecahkan rekod dan menjadi antara pelumba-pasukan paling berjaya dalam sejarah F1. Sudah pasti saya tidak akan melupakan Nikki (Lauda) yang merupakan penyokong setia saya dan saya amat merinduinya setiap hari.
“Tetapi kini, sudah tiba masa untuk saya membuat perubahan dan menyahut cabaran baru. Perasaannya adalah sama ketika saya mula beralih ke Mercedes dari McLaren pada 2013.
“Saya tahu ramai pihak tidak faham dengan keputusan yang dibuat oleh saya ketika itu, tetapi saya sedar bahawa tindakan saya adalah tepat dan saya dapat merasainya sekali lagi. Saya teruja untuk melihat apa yang mampu saya berikan untuk peluang baru ini,” jelas Hamilton dalam laman Instagram miliknya semalam.
Begitupun, Hamilton tidak mahu terlalu memberikan tumpuan kepada Ferrari memandangkan dia masih akan berlumba dengan Mercedes buat kali terakhir untuk musim ini. – AGENSI/UTUSAN










