Akademi Qurra 2024: Bukan soal vokal siapa paling tinggi - Utusan Malaysia

Akademi Qurra 2024: Bukan soal vokal siapa paling tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMASUKI musim kedua pada tahun ini, tidak dinafikan, program Akademi Qurra’ 2024 siaran TV Al Hijrah mempamerkan saingan yang semakin sengit terutama apabila telah selesai dua minggu penayangannya.

Menyaksikan banyak babak air mata daripada para peserta yang tersingkir, ia sekali gus membuktikan bahawa perjuangan dalam bidang tarannum ini juga bukan mudah untuk dibawakan.

Perkara itu ditekankan oleh seorang daripada juri program berkenaan iaitu Ustazah Sharifah Khasif, Fadzillah Syed Badiuzzaman yang juga bekas juara Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2009.

Menurut Sharifah, menerusi pengamatannya selama bergelar juri program berkenaan, tidak semua orang tahu dalam bertarannum dan pemahaman mengenai ilmu melagukan ayat suci Al-Quran juga harus ditekankan.

Ini kerana, masih ramai masyarakat yang menganggap pertandingan tarannum adalah mengenai vokal siapa yang lebih tinggi.

“Kita kena betulkan pemahaman orang ramai bahawa pertandingan tarannum ini bukan soal vokal siapa yang lebih tinggi sebab ini bukan pertandingan nyanyian. Menerusi tarannum, kita nak tunjukkan ketenangan dalam pembacaan.

“Kena faham juga bahawa tarannum mencakupi tingkatan dalam suara. Memang ia seni suara, tetapi dalam tarannum kena ada ilmu dan harus saya akui tidak semua orang memilikinya.

“Bukan soal kena buat suara tinggi, tetapi kemahiran tarannum dalam lantunan yang tenang itu penting,”katanya.

Menurut pengacara dan pendakwah ini lagi, sebagai juri, dia juga banyak memberi teguran dan nasihat kepada peserta program tersebut mengenai kepentingan mengelak faktor sumbang dalam berlagu.

“Sumbang itu aib. Itu yang pertama kita kena jaga. Bagaimanapun, saya lihat memang ada peningkatan dalam diri peserta-peserta ini. Kadangkala, ada antara peserta ini kalah kerana wakaf pembacaan.

“Peserta juga perlu mengambil peluang keemasaan selama dua minit di pentas pertandingan untuk berikan apa yang juri mahu. Masa yang pendek tetapi ‘mengenyangkan’ dan padat,”katanya.

Apa kata peserta tersingkir

Menurut Tilmizah Athiyyah yang mendapat markah 82.50 peratus, dia bersyukur kerana diberi peluang untuk berada di pentas Akademi Qurra 2024.

Kata Athiyyah, 23, pembabitan selama empat minggu cukup indah kerana dia banyak meluangkan masa dengan al-Quran.

“Alhamdulillah, Allah bagi peluang untuk berada di pentas ini. Saya banyak hari menghabiskan masa dengan al-Quran. Kalau saya tak sertai program ini, saya tak macam ini.

“Saya menganggap penyingkiran ini bukan penamat. Biarpun saya banyak menangis kerana tidak mahir tetapi saya anggap itu sebagai pembelajaran,”katanya.

Sementara itu, Tilmizah Firza yang diumumkan berada pada kedudukan dua terbawah bersama Tilmizah Athiyyah akur apabila menerima markah sebanyak 81.50 peratus.

Kongsi Firza, tentunya perasaan sedih sukar untuk dipadamkan terutama apabila perlu meninggalkan keluarga baharu di pentas berkenaan memandangkan ikatan ukhuwah dengan tilmiz dan tilmizah yang lain begitu akrab.

Katanya, penyingkiran ini tidak melumpuhkan semangat untuk dia menuntut ilmu lagi bagi menjadikan diri menjadi lebih baik.

“Sukar untuk buang perasaan sedih untuk tinggalkan pentas Akademi Qurra 2024 sebab setiap masa saya di sini terisi dengan ilmu pengetahuan.Ukhuwah saya dengan tilmiz dan tilmizah yang lain juga baik.

“Namun Allah dah takdir ini jalan saya. Tetapi ini bukan pengakhiran malah menjadikan saya lebih bersemangat untuk berjuang memperbaiki diri menjadi lebih baik.

“Allah tak pernah tinggal saya. Saya tak pernah berseorangan,”katanya.

Selain Ustazah Sharifah, barisan juri juga didibantu oleh Ustaz Muhammad Qayyim Nizar Sarim serta juri jemputan.

Program yang ditayangkan pada setiap hari Sabtu, jam 9 malam ini dihoskan oleh Raqib Majid, Akademi Qurra 2024 selain turut menampilkan Mudarris Ammar Mukhlis, Mudarrisah Suhailah Zulkifly dan Mudarrisah Nadia Hashim yang bertindak selaku tenaga pengajar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×