ALOR SETAR: Tindakan enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dianggap melakukan perbuatan khianat apabila menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan disifatkan sebagai gelap mata.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Azman Nasrudin berkata, alasan memerlukan peruntukan untuk berkhidmat di kawasan masing-masing tidak boleh diterima kerana beliau ketika menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas sebelum ini pernah melalui situasi sama.

Azman yang merupakan bekas pemimpin PKR yang menyertai Bersatu pada Mei 2020 berkata, beliau sendiri sudah membuat keputusan drastik apabila keluar daripada parti itu dan Pakatan Harapan (PH) kerana telah mengetahui sifat dan ciri kepemimpinan pemimpin utama mereka.
“Tetapi dalam hal ini, saya melihat keyakinan Perikatan Nasional (PN) pula untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak akan lebih baik kerana pengkhianatan yang dibuat beberapa Ahli Parlimen Bersatu hari ini secara tidak langsung merupakan satu proses tapisan.
“Kepemimpinan PN dan ahli-ahli Parlimen PN khususnya yang daripada Bersatu kini sedang diuji untuk kita buat tapisan pemimpin mana yang kelam (gelap) mata kerana melihat perlunya peruntukan untuk mentadbir kawasan mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bahawa akan ada beberapa lagi Ahli Parlimen Bersatu bakal menyokong Perdana Menteri pada 28 Februari ini.
Sementara itu, Azman yang kini Ahli Parlimen Padang Serai berkata, beliau bersetuju bahawa peruntukan amat diperlukan kepada setiap wakil rakyat untuk berkhidmat di kawasan masing-masing tetapi perkara itu bukan faktor utama yang akan dinilai pengundi.
“Saya setuju memang peruntukan itu perlu tetapi saya ketika menjadi ADUN Lunas sebagai pembangkang pada penggal pertama pun tak ada peruntukan walaupun satu sen yang mana kerajaan negeri Kedah ketika itu ditadbir oleh UMNO-Barisan Nasional (BN).
“Tetapi apabila masuk penggal kedua daripada menang dengan majoriti 9,000 undi pada PRU13, sokongan kepada saya meningkat kepada 13,000 undi pada PRU14 yang menandakan orang melihat kepada perkhidmatan yang diberikan oleh wakil-wakil rakyat,” katanya.
Tambah beliau, dakwaan dibuat oleh Syed Abu Hussin itu berkemungkinan hanya untuk meyakinkan Perdana Menteri bahawa akan ada lagi wakil rakyat Bersatu yang akan menyokong kerajaan.
“Tetapi saya secara peribadi selaku Ahli Parlimen Padang Serai akan kekal istiqamah dengan perjuangan PN demi untuk rakyat walaupun kami ditekan, dizalimi tidak diberi peruntukan dan sebagainya.
“Orang Melayu sudah bagi sokongan padu kepada PN dan akan meningkat pada PRU16 kerana seperti kita boleh lihat pada PRU15 dan beberapa pilihan raya negeri (PRN) yang diadakan, sokongan mereka tinggi kepada kita tetapi kepada PH merudum teruk,” katanya. – UTUSAN










